KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Subsidiari milik penuh Haily Group Bhd Haily Construction Sdn Bhd telah menerima surat anugerah daripada Meridin East Sdn Bhd bagi pembinaan dan penyiapan 393 unit rumah teres di Johor Bahru bernilai RM75.90 juta.
Haily melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata projek itu akan melibatkan pembinaan 126 unit rumah teres dua tingkat dan satu unit pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di petak pertama (parsel 4A3) dan 156 unit rumah teres dua tingkat di petak kedua (parsel 4A4).
Sejumlah 111 unit rumah teres dua tingkat dan pencawang berkembar TNB akan dibina di petak ketiga (parsel 4A5).
Pembinaan rumah teres tersebut akan mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan, manakala pencawang berkembar TNB akan disiapkan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh dimulakan.
“Tarikh permulaan hendaklah diarahkan secara bertulis oleh arkitek Arcalliance Sdn Bhd,” katanya.
Haily berkata pemberian kontrak tersebut tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham terbesar syarikat itu kerana tiada terbitan saham biasa baharu dalam syarikat.
“Lembaga menjangkakan pemberian kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan Haily sepanjang projek itu, dengan mengandaikan tiada kelewatan dalam tempoh pembinaan,” katanya.
— BERNAMA