KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Anak syarikat milik penuh TSR Capital Bhd (TSR Capital), TSR Bina Sdn Bhd menerima surat setuju terima daripada Sime Darby Property Bhd bagi kontrak kerja tanah pembinaan di Elmina Business Park 2, Gombak, Selangor bernilai RM75 juta.
TSR Capital berkata skop kerja di bawah kontrak ini terutamanya melibatkan pembinaan dan penyelesaian pembersihan tapak serta kerja tanah membabitkan kira-kira tujuh juta meter padu pemotongan dan pengisian tanah.
Selain itu, syarikat tersebut berkata projek ini merangkumi pelan kawalan hakisan dan sedimen, pembinaan dinding penahan dan dinding tanah bertetulang serta kerja saliran utama dan saliran pembetungan.
“Kontrak berkenaan akan meningkatkan dan memperkukuh nilai perolehan kontrak sedia ada kumpulan.
”Kontrak ini juga tidak akan memberi kesan kepada modal saham yang diterbitkan syarikat tetapi dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih setiap saham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2025 hingga 2026,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kontrak tersebut adalah bagi tempoh 18 bulan dan dijangka siap menjelang Mac 2026.
— BERNAMA