KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai perjanjian dengan Keppel Electric Pte Ltd (Keppel) dari Singapura untuk membekalkan kuasa elektrik sehingga 100 megawatt (MW) dalam usaha meningkatkan kerjasama tenaga antara Malaysia dan Singapura.
TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perjanjian rentas sempadan itu adalah sebahagian daripada Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP), bertujuan untuk mengukuhkan jaminan dan kemampanan tenaga di seluruh ASEAN.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata perjanjian itu sejajar dengan matlamat tenaga ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga bagi rantau ini.
“Sebagai pemain utama dalam Grid Kuasa ASEAN (APG), TNB komited untuk meningkatkan jaminan tenaga dan menerajui peralihan tenaga di rantau ini.
“Perjanjian ini bukan sahaja menyokong perdagangan kuasa rentas sempadan tetapi juga mengukuhkan penerajuan Malaysia dalam ketersambungan tenaga serantau,” katanya.
Selain itu, TNB turut menandatangani Perjanjian Saling Sambungan Perdagangan Kuasa Rentas Sempadan dengan SP PowerAssets Ltd untuk memastikan penghantaran elektrik yang stabil antara Malaysia dan Singapura.
“Inisiatif ini menyokong peralihan tenaga ASEAN yang lebih luas, mengutamakan kesalinghubungan dan kecekapan grid ketika rantau ini berdepan dengan lonjakan permintaan tenaga,” katanya.
TNB berkata pelaburan berterusannya dalam pemodenan grid, termasuk teknologi grid pintar, kesalinghubungan dan integrasi tenaga boleh baharu membantu Malaysia kekal menerajui usaha ASEAN ke arah integrasi tenaga yang lebih kukuh dan jaminan tenaga jangka panjang.
— BERNAMA