KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Unit TCS Group Holdings Bhd, TCS Construction Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM146.30 juta daripada Southern Score Sdn Bhd bagi kerja-kerja bangunan utama projek pangsapuri perkhidmatan.
Menurut syarikat berkenaan, projek itu yang dikenali sebagai Vista Sentul Residences akan bermula pada 3 Ogos dan dijangka siap menjelang 2 Feb 2023.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan pada masa depan dan aset bersih untuk tempoh kontrak itu,” katanya dalam makluman kepada bursa saham.
Syarikat itu berhasrat membiayai projek berkenaan menerusi penjanaan dana dalaman atau pinjaman.
Southern Score pada dasarnya terlibat dalam perniagaan pembinaan, kontrak, subkontrak dan pembangunan hartanah.
— BERNAMA