KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) — T7 Global Bhd bercadang untuk mengambil alih keseluruhan saham T7 Wenmax Sdn Bhd dengan harga RM39.2 juta seiring dengan strateginya untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dan daya saing dalam industri minyak dan gas domestik.
Sehubungan itu, anak syarikat milik penuhnya, T7 Gastec Sdn Bhd, hari ini memeterai perjanjian untuk membeli baki 490,000 saham atau 49 peratus kepentingan dalam T7 Wenmax Sdn Bhd daripada Megaxus Resources Sdn Bhd.
Pada masa ini, T7 Wenmax ialah unit kepada T7 Gastec dengan 51 peratus kepentingan.
“Kumpulan berpendapat cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan mengawal sepenuhnya operasi perniagaan T7 Wenmax,” kata kumpulan perkhidmatan kejuruteraan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Menurut T7 Global, rancangan itu berpotensi untuk meningkatkan keuntungan bersihnya dan pada masa sama dapat mengembangkan penawaran kumpulan ke seluruh industri minyak dan gas dengan rangkaian produk yang lebih luas.
Sehingga 4 Sept, 2020, T7 Wenmax mempunyai 17 projek aktif dan sedang berjalan dengan anggaran nilai kontrak agregat RM599 juta.
Jumlah perolehan kontraknya setakat ini ialah RM400 juta.
“T7 Wenmax telah menjadi penyumbang pendapatan utama kepada T7 Group sejak tiga tahun kewangan yang lepas sehingga ke tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019, “ kata T7 Global.
Dalam tempoh tiga tahun terakhir yang berakhir sehingga 31 Dis, 2019, ia telah mencatatkan hasil sebanyak RM63.05 juta, RM64.90 juta dan RM62.77 juta.
T7 Wenmax juga telah mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM7.90 juta, RM7.27 juta dan RM10.36 juta dalam tempoh tiga tahun berkenaan.
— BERNAMA