KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Seremban Engineering Bhd (SEB) dianugerahkan dua projek bernilai RM172.60 juta daripada Dutch Lady Milk Industries Bhd (Dutch Lady).
Projek pertama (CO3) melibatkan kerja-kerja awam, struktur dan seni bina bernilai RM108.8 juta manakala projek kedua (CO4) melibatkan kerja-kerja mekanikal, elektrik dan paip bernilai RM63.8 juta untuk kilang pembuatan baharu di Kawasan Perindustrian Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SEB berkata kerja-kerja di bawah CO3 bermula pada 7 Feb, 2022 dan akan mengambil 382 hari untuk disiapkan manakala CO4, yang bermula pada 15 Mac, 2022, akan mengambil masa selama 322 hari.
“Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh kontrak tersebut.
“Kontrak itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman bank luar,” katanya.
Sementara itu, SEB telah menganugerahkan kepada pemegang saham utamanya, MIE Industrial Sdn Bhd, kontrak kerja-kerja yang berkaitan bernilai RM115 juta.
Kontrak itu melibatkan reka bentuk dan pembinaan kemudahan pembinaan sementara, penyediaan operasi dan perkhidmatan penyelenggaraan serta kerja-kerja awam dan seni bina untuk CO3 dan kerja-kerja mekanikal, elektrik dan paip untuk CO4.
Dalam makluman berasingan, SEB berkata ia telah menerima kemudahan perbankan tambahan berjumlah RM80 juta daripada United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.
Ia akan menggunakan kemudahan pembiayaan itu untuk pembelian bahan, terbitan bon prestasi, bon jaminan dan jaminan berkaitan kontrak yang diberikan oleh Dutch Lady, serta untuk keperluan modal kerja.
“Kemudahan itu dijangka tidak memberi impak yang ketara kepada pendapatan, aset bersih disatukan dan tahap kadar hutang disatukan syarikat dan anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022,” katanya.
— BERNAMA