Disclaimer: Dua sektor ini akan membuat kemunculan semula sekiranya kerajaan menangani kemelut PKP dengan baik.
Pelancongan merupakan sektor yang berkait rapat dengan penerbangan dan seperti kita sedia maklum, sektor pelancongan mengalami penurunan drastik pasca Covid-19. Setelah hampir 2 tahun kita berhadapan dengan Covid-19, soalan yang biasa kita dengar adalah bila kita boleh kembali melancong ke luar negara?
Perbincangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja kerana industri pelancongan turut ditutup di seluruh dunia. Zon Eropah sebagai benua yang sedang menjalankan proses vaksinasi dengan pantas, merupakan di antara yang terawal membincangkan pembukaan sempadan mereka untuk aktiviti pelancongan pasca Covid-19.
Mengapa Eropah? Dengan lebih 700 juta pelancong asing saban tahun, Eropah merupakan benua yang paling banyak menerima kehadiran pelancong berbanding benua-benua lain di dunia.
Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini telah mengesyorkan bagi negara anggotanya untuk membenarkan perjalanan bagi sesiapa sahaja yang telah menerima dos terakhir vaksin yang diluluskan oleh EU sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perjalanan tersebut.
Vaksin seperti AstraZeneca dan Pfizer merupakan vaksin yang telah diluluskan oleh EU. Kenyataan ini disambut dengan pelbagai reaksi oleh negara anggota.
Greece melalui Menteri Pelancongannya memberitahu bahawa industri pelancongan akan dibuka semula seawal 14 Mei 2021, tetapi dengan 5 tahap keselamatan berbeza yang perlu dipatuhi oleh pelancong. Portugal dan Cyprus dilaporkan akan membuka sempadan kepada pelancong UK bermula pertengahan Mei.
Kerajaan Sepanyol berharap sektor tersebut dapat dibuka mulai Jun 2021, dengan andaian bahawa sijil digital vaksinasi boleh diakses di seluruh EU. Manakala kerajaan Perancis mengatakan bahawa pelancong yang mempunyai ‘pas kesihatan’ Covid-19 Perancis (TousAntiCovid) akan dibenarkan untuk masuk mulai 9 Jun 2021.
Selain daripada memiliki jumlah pelancong tertinggi, EU juga merupakan rumah kepada ramai pekerja daripada sektor pelancongan dan hospitaliti. Seramai 38 juta pekerja yang berada dalam industri ini pada tahun 2019, manakala tahun 2020 pula ianya menurun kepada 35 juta orang.
Penurunan hampir 9% ini memberikan bayangan betapa besarnya impak penutupan sempadan negara kepada industri pelancongan.
Sejauh mana Covid-19 memberikan impak kepada industri pelancongan di Malaysia? Menurut Persatuan Hotel Malaysia (MHA), pihaknya telah mengesan kira-kira 90 buah hotel yang telah menutup operasi secara kekal atau sementara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.
Ini secara langsung telah menjejaskan lebih 12,000 orang yang telah diberhentikan manakala yang lain sama ada dipotong gaji atau diminta bercuti tanpa gaji.
Sebelum ini, industri pelancongan negara dilihat menerima impak positif apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Perjalanan Domestik oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).
Penduduk yang tinggal di dalam negeri PKPP mulai November lalu dibenarkan melancong di dalam negeri tersebut.
Pelancongan juga ketika itu dibenarkan untuk perjalanan merentas negeri antara negeri zon hijau (PKPP). Selain itu, penduduk di negeri PKPP yang mahu melancong ke negeri PKPP yang lain tetapi melalui negeri PKPB sahaja yang perlu mendapatkan kebenaran pihak polis.
Keadaan ini diburukkan semula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0. Kadar penginapan bagi Januari 2021 merosot ketara sehingga 20% sejurus pengumuman mengenai pelaksanaan PKP 2.0 manakala pembatalan tempahan turut direkodkan di seluruh negara.
Menurut MHA lagi, bagi setiap dua minggu pelaksanaan PKP 2.0, industri hotel dijangka mengalami kerugian lebih daripada RM300 juta.
Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 membatalkan terus gelembung perjalanan domestik, selain bufet hotel turut tidak dibenarkan serta-merta. Keadaan ini memburukkan lagi usaha untuk mengembalikan industri hospitaliti ke kedudukan asal sebelum pandemik.
Menurut statistik, dengan purata kadar penginapan sebanyak 27.51% pada tahun 2020 dan purata kadar harian (ADR) sebanyak RM196.69, industri mengalami kerugian pendapatan sebanyak RM6.53 bilion.
Pada Mac dan April tahun lalu, kadar penginapan hanya mencatatkan satu angka – masing-masing sebanyak 8.86% dan 9.63%, dengan kerugian dicatatkan sebanyak RM767.85 juta dan RM579.88 juta.
Pelancongan kesihatan ditakrifkan sebagai lawatan atau melancong ke sesebuah negara sambil menjalani rawatan atau untuk mendapatkan rawatan. Industri ini bukanlah sesuatu yang baru, malah Mantan Menteri Pelancongan Datuk Dr. Leo Michael Toyad pernah menyatakan bahawa kerajaan telah menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan sejak tahun 1998 lagi.
Sektor pelancongan kesihatan ini turut menerima peruntukan belanjawan sebanyak RM35 juta bagi industri pelancongan kesihatan yang diletakkan di bawah bidang kuasa Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC).
Dalam keadaan sekarang yang serba mencabar, peruntukan ini akan sedikit sebanyak membantu bagi memacu industri pelancongan kesihatan sebagai satu langkah ke arah memulihkan ekonomi negara. Peruntukan ini juga mengiktiraf kepentingan pelancongan kesihatan sebagai salah satu punca pendapatan yang penting untuk negara.
Negara kita mempunyai kelebihan dalam sektor pelancongan kesihatan dengan membabitkan jumlah kunjungan seramai 1.3 juta pelancong pada 2019. Berdasarkan statistik, sebanyak 60% pesakit adalah dari Indonesia, diikuti China, India dan rantau Asia Tenggara.
Mereka memilih Malaysia disebabkan oleh kualiti perkhidmatan, kos yang mampu milik dan akses yang sangat mudah.
Malaysia terkenal sebagai destinasi pelancongan Muslim sehingga menarik perhatian pesakit beragama Islam dari Brunei, Singapura, Indonesia, negara di Teluk Arab, India dan Bangladesh untuk datang ke sini bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan menikmati kemudahan pelancongan patuh syariah.
Kos perubatan hospital swasta di Malaysia juga mematuhi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan. Kos rawatan kira-kira 40 hingga 80 peratus lebih murah berbanding rawatan di Amerika Syarikat, United Kingdom, benua Eropah dan Australia.
Pada tahun 2018, MHTC merekodkan jumlah jualan sebanyak RM1.5 bilion dan meningkat kepada RM1.7 bilion bagi tahun 2019. Sepanjang tahun 2019 juga, MHTC menyumbang sebanyak RM7 bilion kepada ekonomi negara.
Sasaran asal industri ini adalah untuk mencapai RM2 bilion jualan pada tahun 2020, malangnya ia mencapai penurunan sebanyak 75%. Pada hari ini, jumlah jualannya kembali kepada jualan yang dibuat oleh mereka sekitar tahun 2012.
Antara langkah yang diambil oleh pemain industri ini adalah dengan memperkenalkan DoctorOnCall bagi membantu pesakit menghadiri temu janji tanpa perlu merentas negeri dan negara. Langkah tersebut dilihat proaktif dengan 10% pengguna baru datang dari negara luar.
Menariknya di negara kita, bagi syarikat yang berkaitan dengan industri hospitaliti seperti operator bas, mereka pantas menghidu peluang dan membuat pelaburan yang berbaloi. Sebagai contoh Gets Global Bhd terjun ke industri pembuatan sarung tangan getah dengan pengambilalihan syarikat Great Stylish Venture Sdn Bhd (GSVSB).
Saham Gets meningkat laju bulan lalu menghampiri paras siling selepas pengambilalihan tersebut berlaku dengan peningkatan sebanyak 26.17% menjadikan harga saham naik ke paras RM2.70.
Angin perubahan ini turut mendapat sokongan pelabur dengan 5.63 juta saham diniagakan. Bulan lalu, Gets mempunyai modal pasaran sebanyak RM766.8 juta dan meningkat pada bulan Mei kepada RM783.84 juta.
Kami di Majalah Labur dan The Kapital, nak sangat tunjuk jalan kepada orang ramai cara untuk menceburi dunia pelaburan saham di Bursa Malaysia yang sah dan patuh Syariah.
Anda sedang mencari ilmu pelaburan dan perdagangan SAHAM dari asas (atau zero) sampai boleh beli jual dengan pengetahuan fundamental, teknikal dan sentimen yang komprehensif?
Bahasa mudahnya, kita belajar dari kosong step-by-step!
Jom PRA-daftar dan jadi yang terawal dapat harga promosi dari kami.
Klik link: thekapital.my/pradaftar