KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) — Saham Seacera Group Bhd di Bursa Malaysia melonjak semasa sesi awal dagangan selepas syarikat itu keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) berkuat kuasa 9 pagi pada Khamis.
Pada 10.32 pagi, kaunter itu meningkat 8.5 sen kepada 29 sen dengan 19.30 juta saham bertukar tangan.
Dalam kenyataan pada Rabu, Bursa Malaysia Securities Bhd memutuskan penepian diberikan kepada Seacera daripada mematuhi Bab 8.04(3)(a) Kehendak-Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama yang memerlukan syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) mengemukakan pelan penstrukturan semula kepada pihak berkuasa kawal selia.
Susulan itu, Seacera ditarik balik daripada dikelaskan sebagai syarikat PN17 berkuat kuasa pukul 9 pagi, Khamis 17 Ogos, 2023.
Bursa Malaysia Securities menekankan bahawa pihaknya akan terus memantau kemajuan syarikat PN17 dan Nota Panduan 3 (GN3) berhubung pematuhan mereka terhadap Kehendak-Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama dan Kehendak-Kehendak Penyenaraian Pasaran ACE oleh bursa.
— BERNAMA