KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — RHB Research telah mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor automotif (auto) dan bahagian auto kerana sektor ini menawarkan nisbah ganjaran risiko yang menarik kepada pelabur untuk menempatkan diri mereka dalam pemulihan kitaran tahun depan.
Firma penyelidikan itu menjangkakan unjuran pendapatan industri untuk tahun 2021 akan didorong oleh kitaran penggantian dan pemulihan ekonomi.
“Kami juga tidak melihat jumlah keseluruhan industri (TIV) akan merudum tahun depan sebaik sahaja tempoh cukai secara percuma berakhir kerana ia akan disokong oleh pelancaran model baharu dan pemulihan ekonomi secara berperingkat,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, unjuran TIV 2021 sebanyak 580,000 unit akan menyaksikan pertumbuhan 16 peratus tahun ke tahun, dengan jangkaan beberapa lagi pelancaran baharu.
“Jenama nasional sepatutnya mendapat penguasaan pasaran dalam kitaran ini dengan penambahbaikan dalam kualiti produk dan pengembangan penawaran produk sebagai penggerak utama.
“Pilihan utama kami ialah DRB-Hicom, dan X50 boleh menjadi “game changer” Proton untuk ‘mengganggu’ ruang segmen-B kenderaan utiliti sukan (SUV) yang boleh memacu penarafan semula pendapatan,” tambahnya.
Untuk tahun 2020, ia mengekalkan unjuran TIV pada 500,000 unit dengan jangkaan jualan kereta akan kekal pada 50,000 unit sebulan pada November dan Disember kerana pengguna masih lagi diberi insentif bagi merebut peluang harga kereta yang rendah, yang sah sehingga akhir tahun.
Ini akan menyaksikan prestasi yang lebih kukuh untuk suku keempat 2020.
— BERNAMA