Pasaran Wall Street pada akhir sesi dagangan minggu ini ditutup bercampur-campur setara dengan penutupan dalam pasaran Asia yang ditutup lebih awal.
Dalam penutupan di Bursa Saham New York semalam, Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) naik hanya 0.12% dan ditutup pada 27,931 mata.
Indeks komposit Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup pada paras 11,019 mata dengan penyusutan 0.21%.
Manakala indeks S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS ditutup 0.02% lebih rendah di paras 3,372 mata.
Kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan di Amerika Syarikat dari Florida hinggalah ke California. 11 Syarikat teknologi dalam indeks S&P 500 mendahului penurunan pada Jumaat dengan tekanan berterusan terhadap TikTok oleh Presiden Trump.
Penurunan dalam pasaran saham Amerika Syarikat juga diketuai oleh sektor penjagaan kesihatan dengan peningkatan dalam sektor kewangan dan telekomunikasi.
Data ekonomi pada Jumaat menunjukka data jualan runcit meningkat kurang daripada jangkaan pasaran dan berkemungkinan menjadi perlahan disebabkan peningkatan kes wabak koronavirus.
Catalyst yang menjadi perhatian pasaran pada minggu ini adalah rangsangan bantuan terhadap penduduk Amerika Syarikt masih lagi belum dipersetujui. Perdebatan terus berlangsung di Kongres AS walaupun bantuan sebelum ini telah tamat pada hujung bulan lepas.
Pasaran Asia Menunggu Keputusan Rangsangan Amerika Syarikat
Selepas pasaran Asia ditutup pada Jumaat (14 Ogos 2020), tingkah laku pelabur dinilai seakan tidak mengendahkan laporan data-data ekonomi pada minggu ini khususnya data dari Australia dan China.
Pasaran saham China khasnya membuat pemulihan apabila pada awalnya merosot pada awal dagangan hari Jumaat selepas data ekonomi negara itu yang kurang memberangsangkan.
Tiga data ekonomi China yang dikeluarkan pada hari Jumaat menunjukkan pemulihan ekonomi negara itu kian perlahan. Data pelaburan aset tetap di negara itu merosot 1.6%, data pengeluaran industri pula hanya meningkat 4.8% kurang daripada jangkaan pasaran 5.1%. Lebih membimbangkan data jualan runcit merosot 1.1%, jauh meleset daripada jangkaan kenaikan 0.1%.
Ironinya, indeks saham utama China CSI300 mencatatkan kenaikan 1.49% dengan indeks Shanghai ditutup 1.19% lebih tinggi walaupun membuat penurunan pada awalnya selepas data-data tersebut dikeluarkan.
Indeks utama Asia yang lain pula ditutup bercampur-campur dengan Nikkei di Jepun ditutup 0.17% lebih tinggi. Kospi di Korea Selatan jatuh sebanyak 1.23% dan Hang Seng jatuh 0.19%.
Indeks utama Thailand pula ditutup jauh lebih rendah berbanding negara Asia Tenggara yang lain dengan kejatuhan 1.46%. Indeks utama Bursa Malaysia ditutup 0.75% lebih rendah, manakala Indonesia dan Singapura masing-masing membuat kenaikan 0.16% dan 1.98%.
Bursa Malaysia Alami Tekanan Jualan Sepanjang Minggu Ini
Bursa Malaysia ditutup rendah pada hari Isnin (10 Ogos 2020), bertentangan dengan trend bursa serantau selepas dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam sektor penjagaan kesihatan, terutamanya saham pengeluar sarung tangan menjejaki prestasi pada sesi dagangan sebelumnya.
Bursa Malaysia sekali lagi ditutup rendah pada hari Selasa (11 Ogos 2020) berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham-saham wajaran tinggi terpilih walaupun mencatat jumlah dagangan tertinggi. Ia turut menjejaki prestasi bercampur-campur pasaran serantau susulan risiko rundingan dagangan yang berkurangan serta jangkaan untuk menyaksikan kerajaan Amerika Syarikat memperkenalkan pakej rangsangan yang menarik.
Pada sesi dagangan hari Rabu (12 Ogos 2020), Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk ditutup rendah keseluruhannya berikutan pengambilan untung, dengan tekanan penjualan yang dialami saham pembuat sarung tangan masih mempengaruhi indeks petunjuk pasaran.
Bursa Malaysia ditutup pada paras harian tertinggi hari Khamis (13 Ogos 2020) ketika pasaran pulih daripada penurunan selama empat hari berikutan belian saham semasa berharga rendah. Jumlah dagangan kekal tinggi berikutan aktiviti belian oleh pelabur runcit yang mengambil peluang mencari saham berharga rendah, disokong oleh mudah tunai yang lebih tinggi. Menurut peniaga, pasaran tempatan turut menjejaki negara serantau yang kebanyakannya meningkat susulan kenaikan semalaman di Wall Street.
Bursa Malaysia mencatatkan prestasi rendah semasa mengakhiri dagangan minggu ini berikutan tekanan jualan berterusan berikutan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 Malaysia yang rendah apabila susut 17.1 peratus.
Peniaga berkata angka itu merupakan penyusutan suku tahunan pada dua angka yang paling buruk sejak 1998 disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 11.83 mata atau 0.75 peratus kepada 1,564.59 daripada 1,576.42 ketika ditutup semalam.
Peniaga berkata di peringkat rantau, pasaran Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur, menjejaki prestasi lemah Wall Street dalam tempoh semalaman di samping data ekonomi China yang tidak memberangsangkan selain kebimbangan terhadap penangguhan rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS), sekali gus menghalang pelabur daripada mengambil risiko.