KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) — PTT Synergy Group Bhd telah memeterai perjanjian jualan saham bersyarat membabitkan cadangan pengambilalihan 25 juta saham biasa dalam Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd (PTTSB) yang mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti pada jumlah pertimbangan pembelian sebanyak RM152.0 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PTT Synergy berkata cadangan pembelian dengan vendor-vendor iaitu Teo Swee Phin, Teo Swee Leng dan Faddly Nordin akan dibuat menerusi pertimbangan tunai berjumlah RM62.0 juta dan 81,081,081 saham biasa baharu dalam PTT pada harga terbitan RM1.11 sesaham.
Pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang separuh kedua 2023.
“Cadangan pengambilalihan itu membabitkan PTTSB yang turut terlibat dalam perniagaan pembinaan yang memaparkan pelaburan strategik. Ini juga dibuat selaras dengan objektif serta strategi kumpulan bagi mengembangkan lagi perniagaan pembinaan,” katanya.
Apabila cadangan pengambilalihan itu selesai, PTT Synergy berkata kumpulan PTT dapat memanfaatkan kekuatan PTTSB dari segi pasukan pengurusannya, sumber dan kepakaran bagi terus memperkukuh perolehan kontrak pembinaan kumpulan selain kedudukan kewangan dan prospeknya.
“Ini turut memberi peluang kepada kumpulan untuk meningkatkan saluran pendapatan yang dijangka dapat mengukuhkan prestasi kewangan bagi tempoh dua tahun kewangan seterusnya daripada kumpulan PTT,” katanya.
PTT Synergy berkata penyertaan PTTSB akan membolehkan kumpulan meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan di masa depan, sejajar dengan keadaan segmen pembinaan pada 2021 dan 2022 serta jangkaan pemulihan di bawah subsektor kejuruteraan awam dalam masa akan datang.
“Bagi kemajuan masa depan, PTTSB akan terus menekankan kekuatannya sebagai kontraktor kejuruteraan awam dengan kepakaran dalam kerja-kerja tanah dan projek prasarana,” katanya.
— BERNAMA