KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Ho Wah Genting Bhd (HWGB) telah mendapat kelulusan penuh pendaftaran produk farmaseutikal bagi makanan tambahan kesihatan Astramen Astra H keluaran anak syarikat milik penuhnya, Astramern Sdn Bhd.
Dalam kenyataan hari ini, HWGB berkata kelulusan itu diperoleh daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Produk dalam bentuk kapsul itu mengandungi formulasi herba khas Cina yang dikatakan dapat membantu meningkatkan sistem imun badan bagi melawan kuman.
Menurut HWGB, kelulusan penuh NPRA bagi produk makanan tambahan kesihatan dan perubatan tradisional itu diberi bagi tempoh maksimum lima tahun dan boleh diperbaharui selepas itu.
“Kelulusan itu amat penting bagi membolehkan produk Astramen Astra H memasuki pasaran bagi tujuan pengedaran,” kata Pengurus Besar Perubatan dan Penyelidikan Farmaseutikal HWGB Biotech, Dr Yaman Walid Kassab.
Ramuan utama produk berkenaan adalah ekstrak Astragalus yang mana keberkesanannya sememangnya telah diketahui dalam perubatan tradisional Cina.
Astramen Astra H juga mengandungi ekstrak akar halia yang kaya bahan gingerol dan ekstrak akar manis yang dikatakan mampu melegakan sakit perut, membersihkan sistem pernafasan, mengurangkan tekanan serta melengkapi rawatan barah, kata syarikat itu.
HWGB menyifatkan kelulusan oleh pihak NPRA sebagai detik penting bagi rancangan syarikat untuk mempelbagaikan perniagaan dengan menceburi bidang penjagaan kesihatan.
Ia juga menyusuli kejayaan pelantikan syarikat itu oleh Guardion Health Sciences Inc (GHSI) yang berpangkalan di San Diego dan tersenarai di Nasdaq untuk merekabentuk dan penghasilan dua makanan tambahan kesihatan — Astramern Nutra V dan Astramern Astra H, kata HWGB.
— BERNAMA
Nak tahu lebih mendalam tentang teknik Buy On Breakout beserta contoh-contoh? Don’t worry guys, kami akan terangkan dalam bahasa mudah.
Dapatkan eBook Rahsia Teknik Buy On Breakout, klik: thekapital.my/EbookBOB