KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Petronas Dagangan Bhd (PDB), cabang pemasaran Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk produk petroleum dan stesen berperkhidmatan, akan memberi tumpuan untuk berkembang kepada sektor serbaneka dan menyediakan penyelesaian mobiliti rendah karbon kepada pelanggannya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Osman Rani berkata langkah itu sebagai usaha pihaknya untuk mempelbagaikan portfolio bagi meneruskan kesinambungan perniagaan masa depan, yang akan dilaksanakan menerusi perkongsian strategik.
“Bagaimanapun, kami mengambil kira potensi ketidaktentuan dalam ekonomi dan pasaran pada masa akan datang.
“Justeru, kami akan terus berdisiplin dalam pelaburan dan operasi kami, memastikan kami mengoptimumkan sumber kami dengan berkesan untuk mengekalkan pertumbuhan dan mengekalkan daya tahan dalam menghadapi sebarang cabaran yang akan datang,” katanya dalam Laporan Bersepadu syarikat 2023.
Azrul berkata PDB juga akan memastikan kepuasan pelanggan diutamakan dan sedang merancang lebih awal, bekerjasama secara berkesan dan melabur dalam sistem pengedaran yang disediakan untuk keperluan masa depan PDB.
Ini adalah pendekatan strategik yang memastikan pelanggan kami kekal bersama kami, mempercayai bahawa kami mampu memberikan penyelesaian yang boleh diharapkan untuk jangka masa yang panjang, katanya.
Sementara itu, Azrul berkata purata harga minyak pada 2024 dijangka berlegar sekitar US$80 setiap tong, selaras dengan purata harga 2023 sebanyak US$82.64 setiap tong.
Unjuran Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) ini menjangkakan bahawa Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu diketuai oleh Rusia (OPEC+), akan memulakan penurunan pengeluaran yang akan mengimbangi pertumbuhan permintaan minyak yang lebih rendah dan mengekalkan harga Brent melebihi US$80 setiap tong.
Beliau berkata walaupun pasaran minyak dilihat pulih, peserta pasaran berhati-hati tentang masa depan.
Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan lain mencadangkan pertumbuhan ekonomi 2024 yang lebih sihat didorong terutamanya oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan untuk Malaysia.
“Bagaimanapun, percukaian baharu yang bertujuan mengurangkan pergantungan pada hasil petroleum dan menstabilkan persekitaran fiskal berpotensi mempengaruhi tingkah laku dan perbelanjaan pengguna,” kata Azrul.
— BERNAMA