KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) — UEM Edgenta Bhd telah membangunkan visi, ‘Edgenta of the Future 2025’ (EOTF2025) dalam peralihan kepada syarikat penyelesaian pemboleh teknologi dengan fokus utamanya, industri kesihatan.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Syahrunizam Samsudin, EOTF2025 didasarkan kepada kecekapan operasi serta kos dan dijangka menjimatkan lebih RM100 juta wang syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.
”Untuk menjadikan UEM Edgenta lebih tangkas dan padu bagi mendokong persekitaran perniagaan masa depan, kami akan mewujudkan langkah-langkah predikasi serta pencegahan melalui teknologi mekanisasi automasi, mengoptimumkan perolehan termasuk memperkemaskan struktur perniagaan.
”Kami juga akan meningkatkan cadangan produk dan teknologi kami melalui penggunaan sistem berasaskan awan dan perisian yang sedang kami bangunkan sebagai platform perkhidmatan bagi menarik pelanggan baharu untuk bersama kami,” katanya dalam satu taklimat media maya hari ini.
EOTF2025 juga akan memberi tumpuan untuk meluaskan tapak kumpulan dalam pasaran pertumbuhan baharu seperti di Arab Saudi, selain memperluaskan kehadirannya di pasaran sedia ada yang merangkumi Singapura, Taiwan, Dubai, India, Indonesia, dan Malaysia.
“Kami baru sahaja menamatkan kajian pasaran kami dan telah mengenal pasti dua rakan kongsi yang berpotensi (di Arab Saudi) untuk kami bekerjasama dengan tumpuan kepada perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan.
“Sama seperti apa yang kami buat di Malaysia, Singapura dan Taiwan, kami ingin mengeksport beberapa teknologi dan keupayaan untuk dipakai oleh rakan kongsi yang boleh menggunakan platform teknologi kami untuk menyampaikan perkhidmatan sokongan hospital.
“Arab Saudi turut memiliki pasaran yang lebih besar daripada segi penyumberan luar perkhidmatan dalam pengurusan hospital, kami merasakan ianya adalah peluang pasaran yang baik untuk kami nilai dan membina potensi perniagaan akan datang di sana,” kata Syahrunizam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Hillary Chua Pei Sum berkata bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020, syarikat itu mempunyai lembaran imbangan yang kukuh dengan jumlah aset sebanyak RM2.9 bilion dan kedudukan tunai bersih sebanyak RM206 juta, disebabkan kutipan yang mantap daripada pelanggan utamanya pada suku keempat termasuk Kementerian Kesihatan.
“Dengan nisbah penggearan kasar 0.32 kali, syarikat mempunyai banyak ruang untuk digunakan sebagai leveraj bagi pertumbuhan perniagaan masa depan,” katanya.
Chua ketika mengulas mengenai perbelanjaan modal untuk tahun kewangan 2021 menjelaskan syarikat itu dijangka kembali ke paras 2019 pada sekitar RM80 juta, yang mana, pembiayaan bagi visi EOTF2025 akan diperoleh daripada penjimatan dalam perniagaan itu sendiri apabila ia mula mengautomasikan operasinya.
Untuk jangka panjang, UEM Edgenta akan terus komited terhadap dasar dividennya dalam memastikan pemberian aliran dividen yang mantap.
“Melalui EOTF2025, kami berharap ianya akan menjadikan kumpulan ini, lebih berdaya tahan, berskala, kos efektif dan berprestasi pada masa akan datang,” kata Syahrunizam lagi.
UEM Edgenta adalah syarikat penyelesaian pengurusan aset dan infrastruktur yang terkemuka di rantau ini.
— BERNAMA