KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Cadangan pembelian tanah oleh DRB-Hicom Bhd bernilai RM240 juta di Melaka daripada Tradewinds Plantation Bhd (TWPB) dijangka memberi kesan minimum kepada pendapatan kumpulan, selain memperluaskan portfolio aset bank tanah perindustriannya, kata CGS-CIMB.
CGS-CIMB berkata cadangan pembelian itu selaras dengan hala tuju strategik kumpulan bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan penjualan hartanah perindustrian, berikutan keputusannya untuk keluar daripada portfolio aset hartanah bukan perindustrian dan hospitaliti pada 2018.
“Kumpulan itu merancang memulakan pembangunan ke atas tanah-tanah berkenaan pada 2022.
“Ia juga merancang untuk mendapatkan potensi pendapatan berulang dengan memeterai perjanjian dengan TWPB untuk menyewakan tanah itu kepada TWPB memandangkan tanah itu pada masa ini merupakan sebahagian daripada ladang kelapa sawit yang lebih besar diuruskan TWPB,” kata CGS-CIMB dalam nota penyelidikan, hari ini.
DRB-Hicom, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu, berkata unit milik penuh tidak langsungnya, Hicom Glen Sdn Bhd, bercadang untuk membeli tanah seluas 116.44 hektar di Alor Gajah, Melaka daripada TWPB bernilai RM240 juta bagi tujuan pembangunan taman perindustrian.
Syarikat itu berkata cadangan pembelian itu dijangka selesai menjelang suku pertama 2021, dan pembelian itu akan dibiayai 65 peratus oleh pinjaman luar manakala bakinya dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.
Sementara itu, CGS-CIMB menjangkakan DRB-Hicom akan memberikan keuntungan bersih yang lebih kukuh pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 (Q3 2020), didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi di Proton dan peningkatan jumlah bungkusan yang diproses di Pos Malaysia Bhd, disokong oleh permintaan e-dagang yang kukuh.
“Kami melihat pertumbuhan jumlah yang lebih tinggi daripada jangkaan di Proton dan pemulihan pendapatan yang lebih pantas daripada jangkaan di Pos Malaysia sebagai pemangkin penarafan semula yang berpotensi untuk saham tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, ia maklum kerugian Pos Malaysia yang semakin meluas, penghantaran jumlah yang lebih rendah di Proton dan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik COVID-19 adalah risiko penurunan bagi kumpulan itu.
— BERNAMA