KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) – Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mengembangkan Be Green, program impak sosial utamanya ke peringkat antarabangsa untuk julung kalinya, bermula di Indonesia dengan tujuan memberikan nilai tambahan kepada negara-negara di mana program ini berlangsung.
Pengembangan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran bagi penggunaan dan pengendalian plastik yang betul menerusi pendidikan di kalangan komuniti tempatan berkenaan kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang selaras dengan agenda Ekonomi Plastik Baharu (NPE) PCG dan strategi impak sosial, di samping menyumbang kepada peralihan global ke arah ekonomi sirkular.
“Pengurusan sisa plastik adalah cabaran sedunia yang memerlukan komitmen daripada masyarakat, bermula dengan peringkat pendidikan. Melalui Be Green, kami merancang untuk berkongsi ilmu berkenaan plastik serta pengurusan sisa yang bertanggungjawab dengan masyarakat, selaras dengan agenda NPE di bawah PCG,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof dalam satu kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Be Green di Indonesia, PCG telah menjayakan sebuah sesi perkongsian maklumat yang interaktif di Universiti Indonesia.
Sesi tersebut memberi tumpuan terhadap peralihan PCG ke arah ekonomi sirkular, program Be Green, serta modul pendidikan Plastik, Kelestarian dan Anda.
Melalui anak syarikat, PT PCM Kimia Indonesia, PCG telah menyumbangkan 20 tong kitar semula kepada pihak universiti tersebut untuk ditempatkan di sekeliling kampus, bagi memudahkan pelajar untuk mempraktikkan amalan 3R.
Ditubuhkan pada 2013, Be Green bertujuan memberikan kesan positif terhadap masyarakat melalui pendidikan dan kolaborasi aktiviti kitar semula.
PCG menggalakkan pengurusan sisa secara bertanggungjawab serta amalan 3R dengan melibatkan penyertaan daripada sekolah dan komuniti tempatan di sekitar kawasan operasi PCG.
Program ini juga bertujuan untuk menyokong usaha-usaha aktiviti impak sosial terhadap alam sekitar (Planting Tomorrow) di bawah PETRONAS, menerusi penglibatan bersama masyarakat tempatan di samping mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
— BERNAMA