KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan anak syarikat perbankan Islamnya OCBC Al-Amin Bank Bhd akan menaikkan kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR)/kadar pembiayaan asas (BFR) sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa 14 Sept, 2022.
Ini sejajar dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 0.25 peratus baru-baru ini, menurut OCBC Malaysia dalam kenyataan pada Isnin.
“Semua pinjaman dan kadar pembiayaan berdasarkan SBR, BR dan BLR/BFR akan meningkat pada kadar yang sama,” jelasnya.
OCBC Malaysia menjelaskan SBR akan meningkat kepada 2.50 peratus daripada 2.25 peratus; BR naik kepada 3.33 peratus daripada 3.08 peratus manakala BLR/BFR pula pada 6.26 peratus berbanding 6.01 peratus sebelum ini.
Semua kadar deposit tetap konvensional dan kadar deposit Islam juga akan meningkat sebanyak 0.25 peratus berkuat kuasa hari yang sama.
Sementara itu, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank juga akan menaikkan SBR kepada 2.50 peratus, berkuat kuasa 13 Sept.
BR dan Kadar Asas Islam (IBR) juga akan disemak kepada 3.38 peratus daripada 3.13 peratus.
“Begitu juga, pinjaman dan pembiayaan berasaskan BLR dan Kadar Pembiayaan Islam (IFR) akan disemak kepada 6.39 peratus daripada 6.14 peratus,” jelasnya dalam kenyataan.
— BERNAMA