KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih MY EG Services Bhd (MyEG) bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2024 ( S12024) meningkat kepada RM155.83 juta daripada RM105.94 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan untuk suku tersebut meningkat sebanyak 34.48 peratus kepada RM232.96 juta daripada RM173.22 juta sebelumnya.
Dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia hari ini, MyEG menyatakan bahawa peningkatan pendapatan dan keuntungan bersih adalah hasil sumbangan daripada perkhidmatan platform blok rantai (blockchain) Zetrix dan penjualan token Zetrix.
Mengenai prospek, MyEG berkata ia menjangka akan terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baru, terutamanya blok rantai atau web 3.0 di Malaysia, serta di peringkat global, untuk mendorong pertumbuhan organik syarikat bagi tahun kewangan 2024.
“Dengan platform blok rantai lapisan 1, iaitu Zetrix, yang kini dalam talian, MyEG terus mengkomersialkan perkhidmatan inovatif seiring dengan penerimaan meluas web 3.0.
“Selain itu, Zetrix juga telah disepadukan dengan platform blok rantai nasional China, iaitu “Xing Huo” yang akan memudahkan perdagangan rentas sempadan, dan ini akan menjadi langkah pertama kumpulan untuk memasuki pasaran global,” tambahnya.
— BERNAMA
Artikel ini telah dialih bahasa daripada sumber asal berbahasa Inggeris daripada Bernama.