KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — MY E.G. Services Bhd (MYEG) telah menandatangani perjanjian tambahan dengan East Logistics Link Co Ltd China untuk membangun dan mengendalikan platform tetingkap tunggal nasional bagi negara-negara Asean.
East Logistics merupakan sebuah agensi milik penuh Pentadbiran Am Kastam China.
Kerjasama eksklusif itu akan membuka jalan kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam membangunkan serta melaksanakan satu tetingkap nasional bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan di rantau ini.
MYEG berkata kerjasama itu akan memanfaatkan kelebihan masing-masing termasuk rekod prestasinya sebagai penyedia perkhidmatan e-kerajaan terkemuka dan perintis Web 3.
Kerjasama itu juga akan memanfaatkan pengalaman East Logistics dalam penyelidikan serta pembangunan aplikasi standard “tetingkap tunggal” perdagangan antarabangsa China, mengambil bahagian dalam perkhidmatan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan untuk perdagangan rentas sempadan e-dagang termasuk sistem maklumat lain.
“Inisiatif bersama terbaharu ini menandakan hubungan yang lebih mendalam antara MYEG dan East Logistics, dengan kedua-dua entiti itu telah bekerjasama rapat dalam penubuhan ZTrade, perkhidmatan Web 3 pertama seumpamanya yang menyediakan pengesahan serta pertukaran dokumen perdagangan digital pada blok rantai Zetrix,” kata MYEG melalui satu kenyataan hari ini.
MYEG berkata melalui sambungan langsung ZTrade ke platform tetingkap tunggal GACC, dokumen berkaitan perdagangan kritikal boleh diserahkan secara digital melalui platform itu, membolehkan pengguna menikmati pemprosesan dan pelepasan perdagangan yang dipercepatkan.
Ini termasuk sijil asal yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia termasuk Pensijilan Fitosanitasi serta sijil-sijil produk lain yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan selain sijil asal yang diterbitkan oleh GACC di pihak China.
“Sijil-sijil asal ini dikeluarkan dalam bentuk kelayakan yang disahkan pada blok rantai Layer-1 Zetrix,” kata MYEG.
Dalam memajukan lagi penggunaan teknologi Web 3 di Malaysia serta Asean, projek tetingkap tunggal nasional yang sedang diusahakan oleh MYEG dan East Logistics juga dibayangkan akan dibangunkan pada blok rantai Zetrix.
— BERNAMA