KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) — Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), anak syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) telah memperoleh kontrak untuk kerja-kerja penukaran unit penggerudian luar pesisir mudah alih (MODU) kepada kemudahan suntikan air mudah alih (WIF).
Kontrak itu telah dianugerahkan oleh anak syarikat milik penuh Uzma Bhd, Uzma Engineering Sdn Bhd.
MHB memberitahu bursa saham, kemudahan itu akan digunakan di luar pesisir Sabah menjelang 2025 bagi menyokong usaha penerokaan minyak yang dipertingkatkan, menyumbang kepada peningkatan kecekapan pengeluaran di rantau ini selepas siap.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Mohd Nazir Mohd Nor berkata penukaran MODU kepada WIF mudah alih menyerlahkan kepakaran MHB dalam projek kejuruteraan berat yang kompleks, pembaikan dan penukaran marin, mengesahkan komitmennya untuk meningkatkan prestasi aset dalam industri.
“Pencapaian ini mencerminkan keupayaan serta komitmen kami dalam menyokong sektor tenaga Malaysia, dan kami berharap akan mewujudkan perkongsian jangka panjang yang kukuh dengan Uzma Bhd. Dengan lebih 30 projek penukaran utama yang disiapkan setakat ini, MHB dilengkapi dengan baik bagi menyampaikan penukaran ini dengan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan.
— BERNAMA