KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan harga sasaran berdasarkan aliran tunai terdiskaun yang lebih tinggi pada RM7.25 susulan trafik penumpang antarabangsa yang semakin baik bagi operasi MAHB di Malaysia.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata trafik penumpang antarabangsa mencatatkan pemulihan yang lebih pantas daripada jangkaan walaupun tambang kapal terbang meningkat akibat lonjakan harga bahan api jet selepas pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April, 2022 dan penamatan syarat ujian COVID-19 pada 1 Mei, 2022.
“Oleh itu, kami merendahkan kerugian anggaran tahun kewangan 2022 MAHB sebanyak 14 peratus dan mengekalkan pendapatan anggaran tahun kewangan 2023 berikutan kami bertambah yakin dengan anggaran pendapatan untuk jangka panjang.
“Susulan Malaysia memansuhkan pas pengembara berkuat kuasa 4 Julai, kami menjangkakan bahawa trafik penumpang negara akan terus mencatatkan pemulihan,” katanya.
Maybank IB berkata kapasiti tempat duduk tempatan dan antarabangsa MAHB pada Julai 2022 masing-masing hampir mencecah 90 peratus dan 50 peratus daripada tahap ketika tahun kewangan 2019.
“Paling memberangsangkan, kami difahamkan penumpang antarabangsa di Malaysia mencapai sekitar 50,000 setiap hari bagi tempoh beberapa hari pertama bulan ini.
“Pada kadar ini, trafik penumpang antarabangsa di Malaysia boleh mencecah 33 peratus pada Julai 2022 daripada tahap sebelum COVID-19,” menurut firma penyelidikan itu.
— BERNAMA