GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) — Penyedia rangkaian Maxis dan Digital Penang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan ekosistem digital dan teknologi dalam segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine berkata melalui kerjasama itu, Digital Penang berperanan penting dalam usaha membangunkan hubungan antara Maxis dan Komuniti Digital Kreatif, sekali gus memudahkan proses transformasi dilaksanakan selain memperkasakan usahawan PMKS melalui inisiatif latihan yang disediakan.
“Kerjasama kami dengan Digital Penang merupakan pencapaian penting yang menekankan dedikasi kami untuk memupuk pertumbuhan PMKS di Pulau Pinang seterusnya membolehkan mereka berkembang maju dalam era digital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berharap kerjasama itu dapat membantu usahawan PMKS mengembangkan lagi perniagaan mereka dalam era digital selain mengekalkan daya saing.
Menurutnya, Maxis selaku penyedia penyelesaian bersepadu yang terkemuka juga akan memanfaatkan solusi perniagaan digitalnya iaitu Maxis Business, kesinambungan mudah alih 5G dan perkhidmatan fiber bagi menyokong usahawan PMKS untuk meningkatkan penggunaan digital.
Katanya, menerusi program itu, para usahawan dan perniagaan kecil, terutamanya daripada segmen B40 akan dilengkapi dengan peralatan dan kemahiran digital asas bagi meningkatkan kehadiran mereka dalam pasaran digital.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kerjasama antara Maxis dan Digital Penang merupakan pencapaian penting dalam usaha ke arah menjadikan negeri itu sebagai sebuah hab teknologi digital.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang komited untuk membangunkan komuniti setempat dan memastikan PMKS kita kekal kompeten dalam era digital ini.
“Ia sejajar dengan wawasan Penang 2030 dan Pelan Induk Transformasi Digital,” katanya yang juga Pengarah Lembaga Digital Penang.
— BERNAMA