KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Maxis Bhd (Maxis) telah dipilih oleh Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) untuk menyertai pelaksanaan digitalisasi meluas BHPetrol untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di stesen runcit mereka.
Maxis sebagai penyedia rangkaian akan menyediakan SD-WAN (Software-Defined Wide Area Network) terurusnya untuk menyokong terminal pembayaran di setiap pam minyak dan sistem kaunter bayaran (Point of Sale) di semua stesen runcit BHPetrol di Semenanjung Malaysia.
SD-WAN adalah teknologi rangkaian yang menawarkan solusi kesalinghubungan yang fleksibel, boleh dinaik taraf dan berpatutan sambil menggabungkan langkah-langkah keselamatan tersedia untuk memastikan perlindungan komunikasi secara menyeluruh.
Setakat ini, SD-WAN Maxis telah dilaksanakan di lebih daripada 240 lokasi dengan pelaksanaan di stesen-stesen lain dijangka selesai menjelang akhir tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata kerjasama penting itu membolehkan Maxis menawarkan keupayaan unik dan pengalaman kami dalam menyediakan teknologi rangkaian generasi seterusnya.
“Kami bersedia untuk bekerjasama serta menyokong usaha transformasi digital BHPetrol,” katanya. dalam satu kenyataan.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol Azizul Azily Ahmad berkata kerjasama tersebut akan membolehkan mereka memupuk lebih banyak inovasi, meningkatkan operasi dan apa yang paling penting, meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan di BHPetrol.
BHPetrol membayangkan masa depan pengalaman runcit yang memerlukan rangkaian yang boleh dipercayai, berkelajuan ultra-tinggi yang boleh direlisasikan oleh SD-WAN Maxis.
Kedua-dua syarikat juga sedang meneroka peluang masa depan untuk melaksanakan teknologi Runcit Pintar termasuk analitik tingkah laku membeli-belah, pembayaran dekat, dompet mudah alih dan penyelesaian pengesahan biometrik.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Maxis SD-WAN, lawati https://business.maxis.com.my/en/network/sd-wan
— BERNAMA