KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Pengeluar keluli bersepadu, Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) merancang untuk mengumpulkan sehingga RM81.5 juta daripada terbitan hak satu untuk dua dengan waran lima tahun percuma yang boleh diasingkan, berdasarkan kepada harga terbitan sebanyak 36 sen sesaham.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Masteel, Datuk Seri Tai Hean Leng berkata cadangan tersebut akan membolehkan syarikat menyimpan dana untuk modal kerja serta meningkatkan keupayaan bagi merebut peluang baharu.
Daripada unjuran perolehan yang maksimum, RM69 juta akan dipakai untuk keperluan modal kerja, RM10 juta sebagai pembayaran balik pinjaman bank dan RM2.5 juta bagi membiayai anggaran perbelanjaan yang berkaitan dengan pelaksanaan korporat berkenaan.
”Kami menyaksikan peningkatan permintaan untuk keluli dalam pasaran tempatan serta serantau memandangkan kerajaan sedang mengutamakan pembangunan infrastruktur pengganda tinggi dan projek pembinaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Ini sudah tentu memberi faedah kepada pengeluar keluli yang mantap seperti kami, yang mempunyai kapasiti dan daya saing untuk meraih manfaat daripada pemulihan ini,” kata Tai.
Pelaburan perbelanjaan modal Masteel baru-baru ini dalam penggunaan teknologi lebur keluli terkini akan mengoptimumkan kecekapan kos.
Pengeluar bilet dan bar keluli itu bercadang untuk mengeluarkan sehingga 226.37 juta saham baharu Masteel dengan jumlah waran yang sama.
Dengan andaian pelaksanaan penuh waran dan semua saham perbendaharaan dijual semula, terbitan hak dengan waran akan mengembangkan modal saham Masteel daripada RM239.9 juta yang merangkumi 450.4 juta saham kepada RM402.9 juta yang terdiri daripada 905.5 juta saham.
Langkah korporat itu, yang dijangka selesai menjelang suku kedua 2021, tertakluk kepada kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk penyenaraian dan sebut harga saham, waran serta saham baharu menurut pelaksanaan waran.
Kelulusan perlu diperoleh daripada pemegang saham Masteel pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada tarikh yang akan datang.
MA Securities Sdn Bhd adalah penasihat prinsipal yang dilantik bagi cadangan terbitan hak kumpulan dengan waran percuma.
Pada Januari lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menguatkuasakan duti anti-lambakan ke atas produk keluli dari Singapura dan Turki, yang secara beransur-ansur mengurangkan isu lebihan bekalan produk keluli di pasaran Malaysia.
Tai berkata sejajar dengan perkembangan positif ini, Masteel dijangka melancarkan loji pembuatan ketiga pada suku pertama 2021, untuk meningkatkan produktiviti serta memperluaskan lingkungan rangkaian produk kumpulan termasuk aloi dan keluli tahan karat.
Tambahan pula, cadangan pelaksanaan itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material ke atas pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020.
Bagaimanapun, pendapatan sesaham kumpulan boleh dicairkan selepas terbitan saham hak dan saham baharu berikutnya yang timbul daripada pelaksanaan waran.
— BERNAMA