KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — LKL International Bhd memperoleh kontrak bernilai RM163.21 juta untuk membekalkan sarung tangan nitril bagi tujuan pemeriksaan kepada Shang Hong International (Hong Kong) Ltd.
Menurutnya, kontrak itu yang diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, LKL Advance Metaltech Sdn Bhd dijangka selesai pada suku keempat tahun depan.
“Kontrak jualan itu dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2021,” menurut LKL International menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
LKL Advance Metaltech menjalankan aktiviti pembekalan katil perubatan dan penjagaan kesihatan, peralatan perubatan, dresing komposit, kelengkapan persisian perubatan dan aksesori
Menurut LKL International, kontrak itu bermula Disember 2020 dan akan berlanjutan selama setahun sehingga Disember 2021.
“Kontrak baharu diperoleh ini menjadi pemerolehan kontrak sarung tangan kedua oleh LKL International selepas kontrak jualan bernilai US$19 juta (US$1=RM4.07) sebelum ini daripada Weihai Textile Group Import and Export Co Ltd yang berpangkalan di China pada September 2020,” menurutnya.
Sementara itu, di pasaran domestik, LKL International membekalkan katil dan kelengkapan persisian perubatan kepada penyedia penjagaan kesihatan kerajaan di Sabah dari Oktober hingga November 2020, bernilai lebih RM150,000.
“Ini merangkumi penghantaran lebih 40 unit katil perubatan dan pelbagai kelengkapan persisian perubatan meliputi katil manual hospital, katil untuk wad Unit Rawatan Rapi (ICU), katil hidraulik dan katil penghantaran, selain peralatan persisian perubatan seperti katil bayi, katil kanak-kanak, skrin wad, carta kecemasan dan carta perubatan,” menurutnya.
Pengarah Urusan LKL International, Lim Kon Lian berkata, pihaknya telah mewujudkan rekod prestasi dan rangkaian kukuh yang membolehkannya memenuhi permintaan yang semakin meningkat akibat pandemik COVID-19.
“Kami juga berupaya memperluas portfolio produk dengan pantas untuk memenuhi keperluan pasaran, dengan kontrak baharu dari Shang Hong International dan penghantaran pertama sarung tangan nitril kepada Weihai Textile Group Import and Export menjadi bukti kemampuan kami.
“Selain itu, kami juga membantu pasaran eksport dengan keperluan perubatan mereka, seperti yang ditunjukkan menerusi peningkatan jualan katil perubatan ke negara lain,” katanya.
Harga saham LKL meningkat enam sen atau 6.25 peratus untuk ditutup tinggi pada RM1.02 hari ini.
— BERNAMA