KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) mencatat kenaikan dalam keuntungan bersihnya kepada RM81.19 juta pada suku kedua berakhir 30 Sept, 2022 daripada RM37.48 juta setahun yang lalu sejajar dengan pembukaan semula ekonomi dan pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyebabkan lebih banyak kenderaan di lebuh raya bertol.
Hasil meningkat kepada RM128.11 juta daripada RM77.54 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh volum trafik bertol yang lebih tinggi apabila Malaysia beralih kepada fasa endemik COVID-19 mulai 1 April, 2022.
“Kumpulan mencatatkan kutipan tol yang lebih rendah tahun lepas terutamanya disebabkan oleh kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19,” kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mengenai prospek tahun semasanya, syarikat menyatakan pelupusan lebuh raya Litrak dan Sprint telah selesai pada 13 Okt, 2022 dan syarikat itu pada masa ini tidak mempunyai sebarang perniagaan teras selain daripada menjadi syarikat pemegangan pelaburan.
“Oleh itu, syarikat telah menjadi syarikat tunai seperti yang ditakrifkan di bawah Nota Amalan 16 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama,” katanya.
Dalam hal itu, Litrak berkata syarikat mempunyai tempoh 12 bulan dari tarikh ia menerima notis daripada Bursa Malaysia untuk menormalkan keadaannya.
— BERNAMA