KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — KPJ Healthcare Bhd melupuskan 75 peratus kepentingan ekuiti dalam PT KPJ Medica (KPJM) di Jakarta, iaitu 100 peratus kepentingan dalam PT Al-Aqar Bumi Serpong Damai (AABSD) kepada PT Nusautama Medicalindo (PTNM) pada harga RM150.2 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KPJ berkata KPJM di bawah Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd, serta AABSD oleh Crossborder Aim (M) Sdn Bhd dan Crossborder Hall (M) Sdn Bhd yang memiliki AABSD, kesemuanya merupakan anak syarikat milik penuh KPJ.
Bagaimanapun, ia berkata, jumlah yang akan diterima daripada penjualan itu ialah RM156.7 juta dan perbezaan RM6.53 juta diambil kira sebagai hutang bersih dalam KPJM dan AABSD.
Jumlah hasil tunai sebanyak RM156.7 juta itu dijangka digunakan untuk tujuan korporat am (termasuk, antara lain, pembayaran balik hutang, perbelanjaan modal, modal kerja dan anggaran perbelanjaan bagi cadangan penjualan) bagi tempoh 12 bulan selepas penjualan itu selesai.
— BERNAMA