KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Kerjaya Prospek Group Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 (Q3 20) merosot kepada RM30.38 juta daripada RM33.01 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan susut kepada RM222.21 juta daripada RM263.33 bilion setahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata operasi dan prestasi kewangannya juga terjejas teruk bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 kerana pelbagai kesukaran dan landskap yang mencabar, terutamanya berkaitan pandemik COVID-19.
“Secara keseluruhannya, penurunan perolehan dan keuntungan bersih terutamanya disebabkan oleh kemajuan kerja-kerja pembinaan di lokasi.
“Bagi segmen pembangunan hartanah, tanpa projek yang sedang dibangunkan bagi suku kewangan berkenaan, segmen ini mempunyai sumbangan minimum kepada perolehan kumpulan manakala keuntungan segmen pelaburannya meningkat terutamanya daripada pelupusan pelaburan dalam saham asing bernilai RM8.80 juta,” katanya.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata pihaknya akan terus memantau dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya tepat pada masa bagi mengatasi risiko pandemik itu.
Bagaimanapun, syarikat itu menambah perniagaannya akan disokong oleh nilai perolehan kontrak berjumlah RM3.59 bilion pada 30 Sept, 2020 merangkumi kontrak pembinaan bangunan bernilai RM1.35 bilion yang diperolehi dalam tempoh kewangan.
— BERNAMA