KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) – Keuntungan bersih Hengyuan Refining Company Bhd pada suku keempat berakhir 31 Dis, 2020 melonjak hampir lapan kali ganda kepada RM171.52 juta daripada RM21.56 juta setahun sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan berkurangan kepada RM1.82 bilion daripada RM3.14 bilion, sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata perolehan bagi suku keempat 2020 lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2019 berikutan harga produk minyak pasaran menyusut sebanyak 33 peratus bagi kedua-dua tempoh perbandingan itu.
“Jumlah jualan bagi suku semasa dan tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 juga lebih rendah, masing-masing kepada sembilan juta tong dan 35.1 juta tong, berbanding 10.2 juta tong dan 41.9 juta tong dalam tempoh perbandingan itu.
“Ini berikutan penurunan permintaan tempatan terhadap produk minyak susulan pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan sejak pertengahan Mac 2020,” katanya.
Mengenai prospek, syarikat itu berkata kemajuan terbaharu dalam pembangunan dan pengedaran vaksin COVID-19 telah memberi harapan kepada pertumbuhan permintaan untuk produk minyak di peringkat global.
Bagaimanapun, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum menjangkakan permintaan pasaran terus perlahan sepanjang tahun 2021, dan penggunaan minyak tidak dijangka kembali ke paras pra-pandemik sehingga 2022.
Walaupun cabaran di sekeliling industri minyak kekal tidak dapat dikawal, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, kualiti produk, lindung nilai hidrokarbon, dan pengurusan risiko kewangan dalam mengoptimumkan prestasi syarikat.
– BERNAMA