KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Saham Petronas Chemicals Group Bhd (PCHEM) melonjak 2.67 peratus pada urus niaga pagi ini selepas syarikat itu mencatatkan keputusan kewangan yang lebih baik daripada jangkaan untuk suku keempat berakhir 31 Dis, 2020.
Pada jam 10.01 pagi, saham PCHEM meningkat 20 sen kepada RM7.70 daripada RM7.50 ketika ditutup pada petang Selasa dengan sejumlah 767,500 saham bertukar tangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu menyatakan keuntungan bersihnya pada suku keempat tahun kewangan 2020 melonjak 37.0 peratus tahun ke tahun kepada RM466.0 juta disebabkan terutamanya kadar penggunaan lojinya yang tinggi.
Bagaimanapun, perolehan untuk suku berkenaan menyusut sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM3.85 billion.
Berikutan keputusan mantap PCHEM ini, RHB Research telah menaikkan saranan terhadap saham syarikat kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’’ dengan menambah harga sasaran kepada RM8.35 daripada RM7.91 sebelum ini.
“Kami telah menaik taraf saham itu kepada ‘beli’ kerana PCHEM telah bersedia untuk mencatatkan pemulihan pendapatan yang lebih baik pada 2021 seiring dengan prestasi kukuh harga komoditi,” katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, keputusan memberangsangkan PCHEM akan berlanjutan ke suku pertama 2021 dengan harga petrokimia kekal dalam trend menaik.
— BERNAMA