KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Penyedia penyelesaian bandar pintar Itmax System Bhd, menerusi anak syarikat 65 peratus miliknya, Southmax Sdn Bhd, meraih kontrak daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang bernilai RM79.62 juta.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata kontrak itu merangkumi reka bentuk, pemasangan, dan menyelenggara pusat arahan pintar, sistem kamera litar tertutup dengan ciri kecerdasan buatan (AI) serta sistem lampu isyarat pintar di Pasir Gudang bagi tempoh 15 tahun.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Itmax System William Tan Wei Lun berkata kontrak itu merupakan kontrak bandar pintar ketiga syarikat itu di Johor.
Melangkah ke hadapan, kami yakin bahawa infrastruktur digital kami yang menggunakan teknologi termaju akan membolehkan kami berkembang ke kawasan pentadbiran lain dalam negeri Johor, katanya.
Beliau berkata syarikat itu sedang mengembangkan usaha penyelidikan dan pembangunannya dengan menjalin kerjasama teknologi dengan beberapa universiti tempatan.
“Sehingga kini, pasukan kami telah membangunkan dan mengkomersialkan lebih 21 kes yang mempunyai ciri AI dan telah menyepadukan ciri ini ke dalam pelbagai sistem untuk menyokong pelanggan kami,” kata Tan.
— BERNAMA