KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) — Dagangan di Bursa Malaysia menyaksikan kaunter pembinaan melonjak 2.11 peratus setakat sesi tengah hari ini, mendahului saham penjagaan kesihatan yang telah memperlihatkan peningkatan ketara di bursa tempatan itu sejak minggu lepas.
Pada waktu rehat, kaunter untung adalah sebanyak 258 manakala kaunter rugi 449 manakala 431 kaunter tidak berubah, 649 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 7.48 bilion unit bernilai RM3.52 bilion.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 10.49 mata lebih tinggi kepada 1,597.43 berbanding 1,586.98 ketika ditutup semalam.
Pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove mengukuh 56 sen kepada RM25.26 sementara Hartalega menokok 20 sen kepada RM17.58, sekali gus menolak naik indeks komposit sebanyak 4.42 mata.
Syarikat pembinaan, TCS Group yang membuat kemunculan pertama di Pasaran ACE Bursa hari ini, diniagakan pada 27 sen daripada harga tawaran 23 sen, manakala Gamuda meraih 17 sen kepada RM3.57.
Peningkatan dalam kaunter pembinaan ini boleh dikaitkan dengan pengumuman kerajaan yang ia tidak akan mengubah struktur rakan penghantaran projek bagi projek Lebuhraya Pan Borneo.
Ini diikuti dengan keputusan kerajaan negeri Melaka yang telah mengenal pasti tapak baharu untuk stesen projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura di negeri itu.
“Ini menunjukkan projek-projek pembinaan utama oleh kerajaan akan diteruskan walaupun ada kebimbangan ekoran pertukaran dalam pentadbiran sebelum ini,” kata seorang penganalisis.
Dalam kalangan saham paling cergas, Bioalpha mengembang 9.5 sen kepada 27.5 sen dan Boustead susut 1.5 sen kepada 75.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 46.18 mata kepada 11,306.47, Indeks FBMT 100 menambah 44.03 mata kepada 11,144.71 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih tinggi 75.35 mata kepada 13,136.89.
Indeks FBM 70 menokok 60.84 mata kepada 14,217.92 dan FBM ACE jatuh 0.62 mata kepada 7,673.42.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.24 mata kepada 13,440.95, Indeks Perladangan melonjak 32.37 mata kepada 7,064.76 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.58 mata kepada 140.45.
— BERNAMA