KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Hextar Industries Bhd (HIB) bercadang untuk memindahkan penyenaraian dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Securities.
HIB telah disenaraikan pada 13 Februari 2014 di bawah nama SCH Group Bhd.
Syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM1.06 bilion berdasarkan harga pasaran penutupnya pada 9 November 2023.
Ia kini mempunyai 2.74 bilion saham biasa yang diterbitkan, bagi suku terbaharu berakhir 30 Jun 2023, HIB Group merekodkan hasil disatukan sebanyak RM251.4 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM21.2 juta, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Cadangan pemindahan ini bertujuan untuk meningkatkan statusnya dan memberikan kumpulan pengiktirafan serta penerimaan yang lebih besar dalam kalangan pelabur.
“Ia juga akan meningkatkan imej korporat kumpulan dalam kalangan pelanggan, kontraktor, rakan kongsi perniagaan dan jurubank,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Benny Ang berkata cadangan pemindahan itu adalah tepat pada masanya dan mencerminkan operasi semasa dan prestasi kewangannya.
“Kami berharap penyenaraian di Pasaran Utama akan meningkatkan keupayaan kami untuk mengumpul dana untuk pengembangan seterusnya dan menarik pelabur institusi untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan HIB,” katanya.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku pertama 2024.
— BERNAMA