KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Hartalega Holdings Bhd telah mentauliahkan empat barisan pembuatan di Kilang 6, Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) bagi mempercepatkan kapasiti pengeluarannya.
Syarikat itu berkata pembinaan barisan pembuatan seterusnya masih dalam cadangan, dengan Kilang 7 di NGC tersebut dijangka beroperasi menjelang akhir 2020.
“Selepas siap pada tahun kewangan 2022, kapasiti tahunan kami akan meningkat kepada 44 bilion keping,” kata Pengerusi Eksekutif Kuan Kam Hon dalam laporan tahunan 2020 syarikat itu.
Pengilang sarung tangan getah itu juga mahu mengoptimumkan Integrasi penyelesaian teknologi seperti Industri 4.0 dalam proses dan operasi perniagaannya.
Walaupun Kuan berharap ancaman COVID-19 akan mengendur dan langkah pencegahan mencapai kemajuan di seluruh dunia, keadaan ini dijangka akan berpanjangan.
Memandangkan tempoh permintaan bagi sarung tangan getah akan terus memuncak, syarikat komited untuk melakukan bahagiannya bagi melindungi petugas barisan hadapan menangani wabak ini.
Kuan ketika mengulas mengenai unjuran berkata ketika syarikat berusaha meningkatkan kapasiti, ia menyedari hakikat bahawa garis dasar bagi permintaan global telah berubah dan ini diramalkan menjadi normal baharu.
Dalam hal ini, pelan pertumbuhan strategik kumpulan adalah sejajar dengan keperluan jangka panjang industri penjagaan kesihatan global.
“Dalam arah pengembangan dan mempelbagaikan asas pasaran, ini akan menetapkan asas bagi fasa pertumbuhan kami yang seterusnya untuk NGC 2.0.
“Untuk tujuan tersebut, pada tahun ini, kumpulan telah mengambil alih sebidang tanah yang terletak di Banting, Selangor berkeseluasan 38.44 hektar… bertujuan bagi pengembangan masa hadapan NGC 2.0,” katanya.
Kuan menambah pelan awal kumpulan untuk NGC 2.0 merangkumi tujuh kilang dengan 82 barisan pengeluaran berkapasiti 32 bilion sarung tangan.
Jika pengembangan ini diselesaikan, ia akan membawa kapasiti dipasang kepada kumpulan sebanyak 76 bilion keping setahun.
Pada penutup hari ini, saham Hartalega menurun 40 sen kepada RM13.60 dengan 8.1 juta saham ditransaksikan.
— BERNAMA