KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Genetec Technology Bhd telah memperolehi tempahan bernilai RM56 juta daripada pelanggan sedia ada dan baharu yang merupakan pemain global.
Tempahan baharu itu diperoleh mulai Disember 2020 sehingga kini merangkumi 13 pelanggan bagi mesin pemasangan yang disesuaikan serta pembekalan bahagian komponen dalam kenderaan elektrik dan bateri, automotif, elektronik, semikonduktor termasuk industri pemacu cakera keras.
Genetec dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pesanan daripada industri kenderaan elektrik dan bateri mencecah RM53.7 juta manakala daripada industri automotif, elektronik, semikonduktor dan cakera keras bernilai RM2.3 juta.
“Tempoh setiap projek biasanya adalah antara tiga hingga sembilan bulan bergantung kepada saiz tempahan dan tempoh masa yang ditetapkan pelanggan.
“Skop kerja akan melibatkan tetapi tidak terhad kepada reka bentuk konsep dan lakaran terperinci, pesanan dan penerimaan bahagian komponen, fabrikasi serta pemasangan sistem, pengekodan perisian dan pengaturcaraan, persediaan kilang termasuk ujian sistem serta pemasangan terakhir, pentauliahan dan penerimaan oleh pelanggan,” katanya lagi.
Ia menambah tempahan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Genetec bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 dan tidak dijangka akan memberi sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.
— BERNAMA