KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — CGS-CIMB Securities Sdn Bhd telah mengulangi penarafan “tambah” untuk Hartalega Holdings Bhd dengan harga sasaran baharu (TP) pada RM24.30 berbanding RM20.00 sebelumnya.
Ia berkata penarafan itu disokong oleh margin peneraju industrinya dan pada masa yang sama turut mendapat manfaat daripada persekitaran operasi semasa untuk pembuat sarung tangan.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma itu berkata berdasarkan permintaan dunia yang kukuh pada masa ini, Hartalega telah memperoleh pesanan untuk semua kapasitinya sehingga akhir Mac 2021.
Seiring dengan lonjakan berterusan kes baharu harian COVID-19 seluruh dunia, syarikat menjangkakan permintaan sarung tangan global tahunan pasca-pandemik akan meningkat lebih daripada empat kali ganda daripada kadar biasa (lapan hingga 10 peratus), terutamanya didorong oleh penggunaan sarung tangan yang tinggi, terutamanya daripada kalangan negara membangun.
Risiko menurun untuk saranannya pula termasuk kemerosotan mendadak Harga Jualan Purata (ASP); penemuan vaksin COVID-19; dan/atau wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja Hartalega.
Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd pula telah mengekalkan saranan “beli” dan TP pada RM21.60 untuk Hartalega kerana ia menjangkakan pendapatan unjuran suku kedua tahun kewangan 2021 akan meningkat suku ke suku berikutan kenaikan ASP.
Kenanga Research turut mengulangi penarafan “prestasi lebih baik” untuk syarikat itu dengan TP meningkat kepada RM24.66 daripada RM22.30, disokong oleh pengurusannya yang mantap, terus berkembang menerusi pembangunan produk inovatif dan segmen sarung tangan nitril yang berkembang pesat.
— BERNAMA