KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Nylex (Malaysia) Bhd, Fermpro Sdn Bhd (Fermpro) akan meningkatkan kapasiti pengeluaran ethanolnya dengan tambahan lima juta liter setahun kepada jumlah keseluruhan sebanyak 10 juta liter setahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata syarikat itu telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan bagi memenuhi peningkatan pengeluaran dan akan melabur untuk pembinaan sebuah kilang pembuatan baharu.
“Pembinaan kilang pembuatan baharu itu dianggarkan menelan belanja sehingga RM20 juta dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan. Perluasan kapasiti pengeluaran akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan juga pinjaman bank, butirannya akan dimuktamadkan kelak,” katanya.
Setelah siap, kilang pembuatan baharu itu dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan dan aset bersih sesaham mulai tahun kewangan 2023 dan tahun-tahun berikutnya.
Aktiviti utama Fermpro adalah pembuatan dan pemasaran ethanol, kebanyakannya digunakan dalam pembuatan cecair pembasmi kuman dan disinfektan, karbon dioksida (produk sampingan dalam pengeluaran ethanol) dan produk kimia lain yang berkaitan.
— BERNAMA