KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia bangkit daripada penyusutan awalnya apabila mengakhiri dagangan lebih tinggi hari ini dengan indeks petunjuk utama melepasi paras 1,600 mata berikutan minat risiko pelabur yang kembali ketara, kata peniaga.
Sokongan belian pada sesi tengah hari ini terbukti memacu indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menokok 10.98 mata dan membolehkannya mencecah paras tinggi harian pada 1,602.95 selepas susut sehingga ke paras 1,572.62 sebelum ini.
Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 889 berbanding 360 manakala 624 kaunter tidak berubah, 210 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 6.54 bilion unit bernilai RM5.03 bilion daripada 7.73 bilion unit bernilai RM4.41 bilion pada Rabu.
Sementara itu, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata sentimen di pasaran terjejas berikutan spekulasi mengenai kemungkinan pelaksanaan langkah sekatan pergerakan susulan peningkatan jangkitan COVID-19.
Namun, keuntungan yang diraih oleh kaunter sarung tangan getah serta berkaitan minyak dan gas telah membantu mengurangkan penurunan tersebut, katanya.
“Kaunter pengeluar sarung tangan getah seperti Top Glove, Hartalega dan Supermax yang tersenarai dalam indeks FBM KLCI, menyaksikan dagangan berakhir dalam zon hijau (meningkat) susulan pertambahan jangkitan kes yang sebaliknya melonjakkan perrmintaan terhadap produk itu.
“Selain itu, penurunan jumlah simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) hanya meningkatkan lagi sokongan lanjut berikutan keputusan sebelah pihak Arab Saudi yang juga pengeksport terbesar minyak dunia untuk mengurangkan lagi pengeluaran komoditi itu dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Keadaan ini hanya mendorong peningkatan saham minyak dan gas seperti Dialog Group dan Petronas Dagangan,” katanya kepada Bernama.
Jelas Adam, sentimen secara keseluruhannya juga berkemungkinan turut dipengaruhi oleh tindakan bantahan dan ganas penyokong Presiden AS Donald Trump di Capitol Hill (Kongres AS) yang disusuli tindakan sekatan pergerakan ketika Naib Presiden Mike Pence terbukti enggan tunduk dengan permintaan Trump untuk membatalkan kekalahannya dalam pilihan raya presiden yang dimenangi oleh Joe Biden.
Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Top Glove masing-masing untung empat sen kepada RM8.28 dan RM5.80, Public Bank meraih enam sen kepada RM20.40, Tenaga menokok 10 sen kepada RM10.52 dan IHH Healthcare naik 15 sen kepada RM5.70.
Petronas Chemicals, bagaimanapun, susut lima sen kepada RM7.05.
Bagi saham aktif, AT Systematization dan Dynaciate masing-masing meningkat setengah sen kepada 18 sen dan 13 sen, Iris naik satu sen kepada 38 sen manakala Yong Tai susut setengah sen kepada 29.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 31.97 mata kepada 11,511.47, Indeks FBMT 100 meningkat 37.44 mata kepada 11,261.24 dan Indeks Syariah FBM Emas naik 79.46 mata kepada 12,927.88.
FBM 70 pula merosot 107.0 mata kepada 14,556.43 dan FBM ACE turun 24.31 mata kepada 10,540.97.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.38 mata kepada 14,967.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.76 mata kepada 171.81 namun Indeks Perladangan naik 50.68 mata kepada 7,397.85.
Dalam pada itu, jumlah dagangan berkurangan kepada 4.04 bilion saham bernilai RM4.26 bilion daripada 4.51 bilion saham bernilai RM3.43 bilion, semalam.
Jumlah waran meningkat kepada 500.05 juta unit bernilai RM68.73 juta daripada 427.71 juta unit bernilai RM69.82 juta pada Rabu.
Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 2.0 bilion saham bernilai RM700.06 juta daripada 2.79 bilion saham bernilai RM902.16 juta, sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 758.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.12 bilion), pembinaan (340.12 juta), teknologi (273.72 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (115.74 juta), hartanah (533.72 juta), perladangan (124.15 juta), REIT (12.17 juta), dana ditutup (9,800), tenaga (343.15 juta), penjagaan kesihatan (192.09 juta), telekomunikasi dan media (69.3 juta), pengangkutan dan logistik (104.24 juta) serta utiliti (48.27 juta).
— BERNAMA