KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) — Eversendai Corporation Bhd (Eversendai) memperoleh kontrak bernilai RM1.1 bilion bagi projek di Chennai, Mumbai, Singapura dan Arab Saudi.
Ini menjadikan nilai perolehan kontrak kumpulan kini mencapai jumlah tertinggi sebanyak RM6.7 bilion, kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri AK Nathan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Beliau berkata Eversendai India berjaya memperoleh projek struktur keluli komposit dan kerja awam untuk DLF Downtown Taramani Blok 4 & 5 di Chennai iaitu kontrak tunggal terbesar mereka setakat ini.
Sementara itu, Eversendai di Mumbai meraih projek menara komersial C65, bangunan struktur komposit 19 tingkat serta projek 30 Little Gibbs, bangunan kediaman struktur komposit bertingkat tinggi di Malabar Hills, Mumbai.
Menurutnya, di Singapura, kumpulan pembinaan itu memperoleh projek Founder’s Memorial manakala di Arab Saudi, Eversendai meraih satu lagi pakej kerja subkontrak struktur keluli untuk Speed Park Track, Primary Pit dan Motorsports Experience Centre.
Nathan berkata projek-projek ini akan meningkatkan pendapatan dan keuntungan Eversendai secara berperingkat.
“Kumpulan Eversendai berada di landasan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada 2025 dan seterusnya dengan nilai perolehan kontrak dalam tangan mencatatkan rekod tertinggi,” katanya.
Beliau berkata, pada masa depan kumpulan itu menjangka memperoleh lebih banyak projek berprofil tinggi yang menguntungkan di Timur Tengah dan negara-negara lain yang mereka kini beroperasi.
Nathan berkata dengan nilai perolehan kontrak yang dimiliki ketika ini Eversendai mengunjurkan penggunaan optimum bagi semua kemudahan fabrikasinya ketika momentum projek meningkat.
— BERNAMA