Pasaran saham Amerika Syarikat naik kira-kira 3% pada minggu lalu antaranya disokong oleh komitmen Federal Reserve untuk mengekalkan kadar faedah di paras rendah dalam tempoh yang lama. Secara keseluruhan Wall Street kini telah merekodkan kenaikan lima minggu berturut-turut di mana sektor yang menyumbang kepada kenaikan ini adalah Teknologi dan Kewangan.
Ketiga-tiga indeks utama Wall Street membuat kenaikan pada akhir dagangan minggu lalu (28 Ogos 2020) selepas data pengguna di negara itu menunjukkan tanda yang memberangsangkan.
Indeks Dow Jones naik sebanyak 0.57%, Nasdaq ditutup 0.67% lebih tinggi manakala S&P 500 membuat tujahan 0.60% sekaligus mencapai paras tertinggi yang baru.
Minggu terakhir dalam bulan Ogos biasanya bergerak perlahan setiap tahun, namun ia tidak menjadi kebiasaan pada tahun ini dengan tiga indeks utama merekodkan prestasi yang baik sepanjang tempoh tersebut.
Minggu ini saham teknologi di Wall Street dijangka akan terus aktif dengan usaha pengambil alihan aplikasi TikTok di Amerika Syarikat terus berjalan dengan minat kini ditunjukkan oleh beberapa lagi syarikat selain Microsoft.
Tumpuan pada Isnin (31 Ogos 2020) juga akan terarah kepada stock-split yang akan dibuat oleh syarikat Apple (AAPL) dan Tesla (TSLA).
Dalam laporan ekonomi minggu ini, kita akan dapat maklumat terbaru dalam data paling penting diumumkan setiap bulan di Amerika Syarikat iaitu data Non-farm Payroll (NFP) pada hari Jumaat (4 September 2020).
Berikut adalah empat catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini;
Politik Amerika Syarikat Menjelang Pilihanraya Presiden
Tinjauan terkini menunjukkan prestasi calon presiden Demokrat Joe Biden mendahului Donald Trump dari kem parti Republikan. Kempen Republikan bimbang mereka kalah dalam pilihanraya Presiden pada bulan November nanti.
Demokrat menyerang Trump sebagai tidak kompeten dan seorang yang racist di samping gagal melindungi negara daripada pandemik Covid-19. Manakala Republikan menyerang Joe Biden sebagai seorang yang telah tua dan dikawal oleh partinya.
Dalam tempoh beberapa minggu lagi, momentum kempen pilihanraya presiden AS bakal menjadi lebih panas dan memberi kesan kepada Wall Street. Hal ini adalah normal dalam pilihanraya presiden AS sama seperti yang berlaku pada tahun 2016.
Dasar ekonomi, dasar luar negeri dan dasar perdagangan yang akan menjadi manifesto kepada calon-calon presiden adalah perkara penting yang akan diberi perhatian oleh pelabur sebulan menjelang pilihanraya. Perubahan kepada kepimpinan tertinggi di Amerika Syarikat akan menyebabkan volatility di Wall Street dan tinjauan suara yang dijalankan bakal menjadi catalyst utama kepada Wall Street dalam minggu-minggu yang mendatang.
Isu Perang Teknologi AS-China
Jelas bahawa perang teknologi antara AS-China akan berterusan dalam tempoh beberapa bulan lagi dengan autoriti di Amerika Syarikat membuat halangan-halangan baru terhadap China sejak beberapa tahun yang lalu. Terbaru, rundingan pengambil alihan TikTok menjadi lebih sukar apabila sebarang penjualan syarikat perlu mendapat persetujuan dari kerajaan China.
Sebenarnya, Beijing terlebih dahulu membina tembok halangan di China sejak 25 tahun yang lalu yang tidak membenarkan kemasukan konten-konten dari luar ke negara itu. Kini Washington pula bertindak sedemikian dengan alasan menjaga keselamatan negara.
Walaupun dengan ketegangan yang semakin memuncak, nampaknya sektor teknologi di Wall Street terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan pasaran saham. Potensi TikTok dapat diambil alih oleh mana-mana syarikat dari Amerika Syarikat bakal menaikkan prestasi kerana populariti aplikasi tersebut.
Namun, timbul satu persoalan pengambil alihan hanya melibatkan operasi TikTok di AS sahaja, tetapi ia tetap sukar untuk China mengalah dalam hal ini dengan memperkenalkan peraturan baru bahawa sebarang penjualan perlu dipersetujui oleh kerajaan. Isu ini akan terus diekori rapat oleh para pelabur global dalam minggu yang mendatang.
Perkembangan Isu Covid-19
Isu penularan Covid-19 tidak lagi menjadi keutamaan dalam laporan media kewangan dengan pergerakan Wall Street seakan tidak terkesan dengan pertambahan kes yang terus meningkat. Mungkin juga disebabkan ura-ura penemuan vaksin dan juga perkembangan positif dalam penghasilan vaksin tersebut di seluruh dunia.
Walaubagaimanapun, ia masih lagi berada dalam persekitaran kita dengan tiada tanda-tanda bahawa penularan akan berakhir dalam masa terdekat. Sektor pelancongan sudah tentu teruk terjejas di samping sektor penerbangan global.
Pada Ahad, Food And Drug Administration (FDA) telah meluluskan penggunaan kecemasan bagi rawatan plasma pengubatan Covid-19. Kajian awal menunjukkan rawatan antibodi meningkatkan kadar jangka hayat pesakit.
Abott Laboratories sebuah syarikat multinasional di AS dalam bidang kesihatan juga telah mendapat kebenaran bagi penggunaan rawatan plasma pada minggu lalu. Walaupun dengan kemajuan dalam usaha pengubatan virus tersebut, minggu lalu kes Covid-19 telah mencapai jumlah 25 juta di seluruh dunia termasuk 6 juta di Amerika Syarikat.
Data Pekerjaan NFP Amerika Syarikat
Data pekerjaan Non-Farm Payroll adalah laporan ekonomi paling ditunggu-tunggu dan menjadi prioriti setiap bulan kepada pelabur dan pedagang global. Data ini akan dikeluarkan pada Jumaat pukul 8.30 malam waktu Malaysia.
Data ini adalah laporan pasaran pekerjaan yang tidak mengambil kira sektor perladangan di Amerika Syarikat yang mewakili sebahagiuan besar tenaga kerja di negara itu.
Terdapat tiga komponen data penting dalam NFP iaitu tambahan jumlah pekerjaan, kadar kenaikan upah dan kadar pengangguran. Bagi data kali ini, tambahan pekerjaan dijangka meningkat 1.4 juta pada bulan Ogos sedikit rendah daripada bacaan sebelum ini yang merekodkan 1.76 juta. Kadar pengangguran pula dijangka turun kepada 9.8% daripada 10.2% sebelum ini.
Data ini penting kerana pekerjaan yang tidak melibatkan sektor perladangan mewakili sebahagian besar ekonomi AS dalam industri perkhidmatan dan menjadi petunjuk awal kepada kesihatan ekonomi di negara ini.
Sumber Rujukan:
- Investing.com
- livemint.com
- Financial Times