LUMUT, 15 Sept (Bernama) — Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyasarkan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkat sebanyak RM300 bilion menerusi inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) 2021-2025 wilayah itu yang baharu dilancarkan.
SDP itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mempengerusikan mesyuarat majlis itu di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, empat menteri besar negeri terbabit serta dua wakil sektor swasta.
Menerusi SDP, wilayah utara itu dijangka mewujudkan lebih 160,000 pekerjaan baharu dan lebih 42,000 usahawan manakala pelaburan terkumpul juga disasarkan meningkat kepada RM146.5 bilion.
Bagaimanapun, sasaran itu dijangka lewat dua tahun berikutan impak penularan pandemik COVID-19.
“Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita ada kelewatan dua tahun. Pada asalnya kita jangka KDNK dapat dicapai pada 2025 namun sekarang kita menjangkakan sasaran RM300 bilion dari segi KDNK itu dapat dicapai pada 2027,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John kepada Bernama dan TV3 dalam satu temu bual.
Sehingga Julai tahun ini, NCIA telah mencapai pelaburan kumulatif yang direalisasikan berjumlah RM115.9 bilion selain lebih 140,000 pekerjaan di NCER.
Bagi tempoh 2008 dan Julai 2020, NCIA telah mencatat komitmen pelaburan berjumlah RM120.2 bilion dan jumlah pekerjaan terkumpul mencecah 149,029.
Jebasingam berkata SDP meliputi empat negeri di wilayah utara dan merangkumi program untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu menerusi pelaburan baharu dan projek infrastruktur kerajaan.
“Dalam rancangan pembangunan ini, kita ambil kira implikasi dan impak pandemik COVID-19. Kita tahu masalah seperti kekurangan pekerjaan, masalah dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana dan sebagainya,” katanya.
Jebasingam berkata, dalam usaha menampan impak pandemik COVID-19 di wilayah ini, NCIA turut menggerakkan pelan pasca-COVID-19 dalam SDP dengan usaha bagi mewujudkan pekerjaan serta merangsang aktiviti ekonomi di NCER.
Antara strategi mitigasi itu termasuk memanfaatkan aliran keluar pelaburan langsung asing dari negara-negara Timur Jauh seperti China dan Jepun; memberi tumpuan terhadap insentif pelaburan langsung asing domestik dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana untuk memulakan semula ekonomi tempatan dan menyediakan insentif khusus berasaskan industri yang menarik.
Selain itu, NCIA juga telah menyediakan secara khusus dua program ‘fast track’ program-program di atas – JomKerja @ NCER dan JomNiaga @ NCER yang memberi tumpuan usaha meningkatkan semula dan menambah kemahiran dan disusuli latihan kemahiran bagi memacu kebolehpasaran segera mereka yang mencari kerja serta daya saing perniagaan mikro.
“Nilai pelaburan yang kita jangkakan setiap tahun adalah sekurang-kurangnya RM10 billion di wilayah utara ini dan dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan dalam tempoh ini…bukan sahaja peluang pekerjaan baharu malahan pekerja diberhentikan, menerusi Program JomKerja dan Peningkatan Bakat,” katanya.
Jebasingam berkata NCIA juga menyasarkan untuk meneroka peluang dalam sektor-sektor baharu seperti farmaseutikal dan peranti perubatan selain e-dagang dan ekonomi gig serta memperkukuh sektor-sektor seperti elektrikal dan elektronik (E&E) dengan meningkatkan insentif bakat.
“E&E merupakan satu sektor yang akan berkembang dalam sektor perkilangan dan juga agri-perniagaan. Masalah yang ada adalah dari segi pelancongan dan logistik,” katanya.
Bagi memacu pemulihan ekonomi negeri-negeri NCER secara berterusan, NCIA akan melaksanakan projek-projek seperti Lebuh Raya Koridor Utara sepanjang 140 kilometer yang menghubungkan Sungai Petani, Batu Kawan, Changkat Jering selain menghubungkan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat.
Rangkaian lebuh raya alternatif itu juga disifatkan sebagai pemangkin pembangunan NCER dengan menyediakan aspek kesalinghubungan dan akses, khsusnya membabitkan kawasan pedalaman dan kurang dimajukan.
Di Perlis, projek-projek membabitkan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Pelabuhan Darat Perlis dan Lembah Agro Chuping akan berperanan penting dalam meningkatkan perdagangan merentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.
Selain itu, program modal insan yang sedang dijalankan khususnya empowerNCER, usahawanNCER, Program Peningkatan Bakat NCER dan Dana Usahawan Bumiputera telah dipertingkat bagi menumpukan kumpulan sasaran yang terjejas akibat pandemik itu, khususnya kategori B40 dengan memberi peluang pekerjaan atau keusahawanan.
Malah, setakat ini, program-program itu secara terkumpul telah memanfaatkan lebih 15,500 peserta dan dalam jangka panjang, ia akan memberi sokongan dari segi penyediaan tenaga kerja dan bakat untuk industri dan bagi pertumbuhan pelaburan sektor swasta.
Di Perak, NCIA menerajui projek pembangunan Silver Valley Technology Park dan Ipoh Heritage Tourism di Ipoh selain kemudahan pembesaran Pelabuhan Lumut di Manjung dan pertumbuhan Hab Auto Tanjung Malim di Tanjung Malim.
Selain itu, NCIA turut menyokong pembangunan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dan Pelan Pelaksanaan Strategik Pulau Bebas Cukai Pangkor.
— BERNAMA