KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) — Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) telah membatalkan cadangan gabungan dengan UEM Sunrise Bhd (UEMS) selepas mengambil kira penilaian terperinci dalam persekitaran semasa yang mencabar dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia turut menyifatkan penamatan rundingan berkaitan akan membolehkannya terus aktif meninjau cadangan korporat lain yang lebih seiringan dengan rancangan pertumbuhan dan strategi semasa.
“Pihak Lembaga Pengarah ingin berterima kasih kepada UEM Group Bhd di atas pelawaan untuk kami pertimbangkan cadangan gabungan itu. Kami juga terbuka bagi sebarang kemungkinan jalinan kerjasama dengan UEMS di masa depan sekiranya wujud peluang lain,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kedua-dua syarikat tersebut merupakan antara pemaju hartanah terbesar di negara ini.
Dalam cadangan yang dikemukakan oleh UEM Group pada Oktober lepas, EcoWorld Malaysia akan dijadikan anak syarikat milik penuh UEMS dan dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Pihak Suruhanjaya Sekuriti telah memberi tempoh sehingga 31 Januari ini untuk kedua-dua pihak terbabit memutuskan untuk meneruskan rundingan gabungan itu.
Sementara itu dalam kenyataan media hari ini, Pengerusi EcoWorld Malaysia Tan Sri Liew Kee Sin berkata dengan tamatnya rundingan itu, kumpulan berkenaan akan menumpukan rancangan perniagaan sendiri bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober, 2021 (TK21).
Ini termasuk sasaran jualan sebanyak RM2.875 bilion atau 25 peratus lebih tinggi berbanding jualan sebenar RM2.3 bilion pada TK20.
“Kami telah mencatat permulaan agak kukuh dengan jualan sebanyak RM500 juta yang dicapai dalam dua bulan pertama TK21.
“Ini satu pencapaian yang amat menggalakkan memandangkan November dan Disember lazimnya tempoh yang agak lengang untuk sektor hartanah. Kejayaan merekodkan jualan itu turut membuktikan keberkesanan transformasi keseluruhan proses jualan dengan memanfaatkan mekanisme sedia ada, terutama saluran media sosial dan digital bagi penglibatan pelanggan,” katanya.
Liew berkata kumpulan itu akan terus menumpukan usaha pendigitalan dan menambah baik semua aspek proses jualan ketika tempoh PKP kali ini selain berusaha meraih sasaran jualan bagi tahun ini.
Dalam pada itu, saham-saham EcoWorld Malaysia dan UEMS telah digantung pada 2.30 petang ini dan didagangkan semula sejam kemudian.
— BERNAMA