KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Dagang NeXchange Bhd (DNeX) telah merangkul kontrak Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) untuk membangun, melaksana dan menyelenggara Fasa 1 Platform Tetingkap Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) melalui anak syarikat milik penuh, Dagang Net Technologies Sdn Bhd.
Kontrak empat puluh dua bulan itu bernilai RM18 juta dan bermula pada 23 Okt 2023 hingga 22 April 2027, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MMSW ialah platform digital bersatu bagi memudahkan perkhidmatan perdagangan dan perkapalan di peringkat nasional.
Satu platform pusat akan dibangunkan untuk memudahkan aliran maklumat secara menyeluruh, yang seterusnya, akan berfungsi sebagai portal sehenti melalui satu log masuk dan penyerahan tunggal bagi urus niaga kawal selia maritim serta perkhidmatan pelabuhan, kata kenyataan itu.
“Pembangunan aplikasi maritim yang diperkemas itu akan mengurangkan masa pelepasan kargo termasuk kos menjalankan perniagaan selain meningkatkan daya saing serta kecekapan rangkaian perdagangan negara yang akan mewujudkan nilai untuk pemain industri dan agensi kerajaan,” kata Pengerusi Eksekutif DNeX Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Pembangunannya akan melengkapkan Tetingkap Tunggal Kebangsaan (NSW) sedia ada untuk kemudahan perdagangan yang dikendalikan oleh Dagang Net dan TradeSwift Dagangnet yang dilancarkan baru-baru ini, kata kenyataan itu.
PKA ialah agensi pelaksana untuk menjalankan Fasa 1 sistem MMSW bagi pihak Kementerian Pengangkutan.
DNeX berkata ia merupakan inisiatif transformasi utama yang mengintegrasikan teknologi termaju dan pendigitalan ke platform yang menawarkan antara muka yang mesra pengguna yang dipertingkatkan untuk melonjakkan kecekapan pelabuhan.
Pada masa yang sama, ia juga memenuhi kewajipan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi mempromosikan keselamatan, mesra alam, kecakapan dan perkapalan yang mampan melalui kerjasama.
NSW membolehkan penyerahan secara elektronik dokumen perdagangan kawal selia manakala MMSW ialah platform untuk menguruskan penyerahan dokumen perdagangan lain yang diperlukan dalam domain maritim dan juga disepadukan dengan NSW.
MMSW bertujuan memudahkan serta mempercepatkan prosedur pentadbiran untuk meningkatkan kecekapan dan meningkatkan komunikasi dalam domain maritim, ia juga mengurangkan pertindihan kemasukan data dan proses berasaskan kertas.
— BERNAMA