KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Digi Telecommunications Sdn Bhd bekerjasama dengan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd, Allo Technology Sdn Bhd (Allo), untuk memperluaskan perkhidmatan jalur lebar kediamannya kepada kira-kira 45,000 kediaman di kawasan terpilih di Melaka, Perak dan Cyberjaya.
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata Digi akan memanfaatkan penyelesaian Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Lapisan 2 Allo, menjadikan jumlah terkumpul kediaman Allo kepada 155,000 pada suku pertama 2021.
“Kerjasama ini merupakan lanjutan daripada perkongsian yang dimulakan oleh kedua-dua pihak untuk melaksanakan projek perintis, menyediakan perkhidmatan jalur lebar kediaman tanpa had kepada 1,100 penduduk dan perniagaan di Melaka awal tahun lepas,” menurut kenyataan itu.
Projek perintis itu merupakan sebahagian daripada usaha Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sebelum ini untuk mempercepatkan gentian optik di Malaysia.
Ketua Pegawai Pemasaran Digi Praveen Rajan berkata kerjasama itu akan membolehkan syarikat meningkatkan penyampaian perkhidmatan jalur lebar kediaman, terutamanya semasa permintaan yang kritikal terhadap kesalinghubungan yang boleh dipercayai untuk kerja jarak jauh dan keperluan pendidikan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allo Rodzi Ahmad berkata syarikat telah bekerjasama secara proaktif dengan rakan kongsinya untuk menyokong pengembangan mereka dalam menyediakan kesalinghubungan kepada rakyat Malaysia dari pelbagai tempat.
“Allo memahami kepentingan untuk terus berada di hadapan trend global, terutamanya dalam dunia yang dipacu secara digital dan berkembang bersama dalam memastikan kesalinghubungan digital yang kukuh, berkualiti tinggi dan berpatutan untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
— BERNAMA