KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mempamerkan dagangan bercampur-campur pada sesi urus niaga tengah hari ini, menyaksikan sokongan belian yang berselang seli dengan aktiviti jualan membabitkan saham wajaran tinggi dan berharga murah terpilih, kata penganalisis.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.05 peratus atau 0.85 mata pada 1,455.59 berbanding 1,454.74 pada penutupan urus niaga Selasa.
Indeks utama itu dibuka 4.29 mata lebih rendah pada 1,450.45 pagi ini dan bergerak antara 1,445.23 dan 1,459.86 di sepanjang sesi dagangan pagi hingga tengah hari.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan negatif, menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 433 berbalas 287 manakala 335 kaunter tidak berubah, 1,251 tidak diniagakan dan 89 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.24 bilion unit bernilai RM698.75 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota Market Pulsenya, sektor perbankan mungkin mendapat manfaat daripada persekitaran kitaran menaik kadar faedah.
“Pelabur juga dijangka memihak kepada REIT di tengah-tengah sentimen pasaran yang tidak menentu. Sebaliknya, saham pertumbuhan pula mungkin terkebelakang hari ini berikutan kejatuhan semalaman di Wall Street,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan ia telah meluluskan cadangan penggabungan antara Digi.com Bhd (Digi) dan Axiata Group Bhd (Axiata).
Dalam satu kenyataan bersama kemudian, Digi.com dan Axiata berkata penyempurnaan cadangan penggabungan itu kini tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, pemegang saham Axiata dan Digi serta pemenuhan terma dan syarat lazim yang lain.
Cadangan penggabungan itu dijangka siap dalam separuh kedua tahun ini.
Pada tengah hari, harga saham Axiata meningkat 14 sen kepada RM2.95 dan Digi.com naik 15 sen kepada RM3.40.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi yang lain, kedua-dua Tenaga dan Hartalega menokok tujuh sen, masing-masing mencatatkan RM8.03 dan RM2.72, IOI Corp untung lima sen kepada RM3.94, manakala Maybank dan Public Bank susut satu sen, masing-masing menjadi RM8.63 dan RM4 .45 dan Petronas Chemicals turun sebanyak lima sen kepada RM9.20.
Bagi saham aktif, Reach Energy dan Borneo Oil tidak berubah, masing-masing pada enam sen dan 2.5 sen, manakala Sapura Energy kerugian setengah sen kepada 4.5 sen dan Hibiscus turun dua sen kepada RM1.01.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 4.18 mata menjadi 10,371.03, Indeks FBM Emas Syariah menambah 7.30 mata menjadi 10,563.04, FBM 70 kehilangan 27.26 mata kepada 12,507.00, FBM ACE menokok 31.48 mata kepada 4,826.34 dan Indeks FBMT 100 lebih rendah sebanyak 0.68 mata kepada 10,110.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan sebanyak 37.33 mata kepada 16,076.53, Indeks Perladangan susut 36.61 mata kepada 7,005.56 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.05 mata pada 183.51.
— BERNAMA