KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga sesi awal hari ini lebih rendah berikutan sentimen pasaran yang lemah.
Ketika dagangan berhenti untuk rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 10.83 mata kepada 1,565.14 daripada penutupan Jumaat minggu lepas 1,575.97.
Selepas menyusut 2.19 mata pada paras pembukaan pagi ini kepada 1,573.78, indeks utama itu berlegar antara 1,562.11 dan 1,573.78 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 666 berbalas 276 manakala 421 kaunter tidak berubah, 895 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.51 bilion unit bernilai RM1.29 bilion.
Pada tengah hari, 17 daripada 30 komponen saham FBM KLCI mempamerkan dagangan rendah, sementara tujuh kaunter memperoleh kenaikan dan enam yang lain tidak berubah.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan terus menyaksikan sokongan belian daripada pelabur asing dan runcit berikutan prospek pemulihan ekonomi yang lebih cerah, didorong oleh perkembangan positif dalam Pelan Pemulihan Negara serta kadar pemberian vaksinasi.
Mengenai komoditi, ia berkata harga minyak mentah telah menyusut dan ditutup melepasi paras US$72 setong, sementara minyak sawit mentah turun di bawah paras RM4,300 satu tan.
“Sementara itu, harga aluminium kekal tinggi, melonjak melepasi paras US$2,900 ketika pasaran mencerna ramalan daripada peserta Sidang Kemuncak Aluminum Harbour yang menyatakan kekurangan bekalan tidak dapat diatasi dalam jangka pendek,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan berpendapat kaunter yang berkaitan dengan keluli dan logam akan terus menguasai pasaran.
“Kami juga percaya saham teknologi wajar dibeli ketika berharga murah untuk jangka pendek sementara pelabur boleh mengumpul saham sektor bertema seperti perbankan, pengguna dan pelancongan,” tambahnya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM8.31, Public Bank naik dua sen kepada RM4.04, sementara Petronas Chemicals dan Maxis masing-masing tidak berubah pada RM7.95 dan RM4.66 sementara Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM10.26.
Bagi saham aktif, KNM susut dua sen kepada 28 sen, Pasukhas Group naik setengah sen kepada 11.5 sen dan PUC turun satu sen kepada 15 sen.
Saham paling kerugian dicatatkan oleh Petronas Dagangan yang susut 48 sen kepada RM19.52, diikuti oleh Nestle dan Batu Kawan yang masing-masing jatuh 40 sen kepada RM134.30 dan RM20.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 72.26 mata kepada 11,450.55, Indeks FBMT 100 merosot 70.61 mata pada 11,141.71, dan Indeks FBM Emas Syariah lemah 80.29 mata kepada 12,533.91.
FBM 70 menguncup 69.31 mata kepada 14,974.80 dan FBM ACE susut 27.26 mata kepada 7,227.84.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menyusut 67.50 mata kepada 6,536.72, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.32 mata kepada 200.58, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 54.85 mata kepada 15,335.32.
– BERNAMA