Ini adalah cara nak kenalpasti sindiket yang berleluasa di Bursa Malaysia. Izinkan saya kongsikan beberapa perkara penting daripada liputan tersebut, terutamanya kepada pelabur baru supaya tidak terperangkap dalam aktiviti manipulasi saham.
Small Cap /Penny Stock
Biasanya, pedagang jenis retailer (peruncit) suka dengan kaunter-kaunter sebegini. Kaunter penny stock atau small cap ini menjadi sasaran sindiket, lebih-lebih lagi sejak kebanjiran pelabur baru dalam Bursa yang bermula sejak Mac 2020.
Adakah anda masih ingat Inix? Sejak Wan Kuok Koi, bilionaire di Macau menjadi Pengerusi Syarikat, harga saham melonjak naik daripada RM0.10 menjadi RM0.89 dalam tempoh dua bulan.
Berita awal yang digembar-gemburkan adalah kemasukan syarikat tersebut dalam industri sarung tangan (gloves) dan durian.
Namun berita terkini yang diterima, mereka telah membatalkan niat tersebut.
Begitu juga dengan GETS, sebuah syarikat yang sedang mengalami kerugian yang terlibat dalam sektor perniagaan bas; secara tiba-tiba mengumumkan bahawa mereka berminat untuk terlibat dalam sektor sarung tangan.
Harga sahamnya meningkat 1,000% tetapi sekarang ianya sudah tidak lagi kedengaran. Harga saham syarikat pun telah jatuh hampir 50%.
Kadar Kecairan Yang Rendah (Low Liquidity)
Kaunter yang mempunyai jumlah saham yang rendah, adalah sangat mudah untuk menjadi sasaran sindiket untuk ‘pump and dump’ sekiranya terdapat pembelian secara besar-besaran.
Sebagai contoh, saham Euro pada tahun lepas telah mengalami kenaikan sehingga 17 kali ganda dan mencecah harga tertinggi pada Januari 2021 iaitu RM5.76.
Lonjakan Dalam Dagangan
Bagi mereka yang biasa dengan Analisis Teknikal, lonjakan secara mendadak dalam satu-satu dagangan menandakan bahawa pelabur mempunya minat belian yang tinggi. Namun begitu, lonjakan secara mendadak ini boleh menjadi jerat sindiket kepada mereka yang tidak berhati-hati.
Adakah anda ingat kaunter AT yang ingin melibatkan diri dalam industri sarung tangan? Pada minggu 13 November 2020, hampir 10.85 bilion pegangan saham bertukar tangan yang bersamaan dengan 16% jumlah dagangan di Bursa pada minggu tersebut.
Namun, lihat apa yang berlaku dengan AT sekarang?
Prestasi Kewangan Syarikat Tidak Selari dengan Pergerakan Harga Saham
Sekiranya harga saham meningkat tanpa disokong oleh fundamental yang kukuh, berwaspadalah! Fikir dahulu sebelum invest.
Untuk trade mungkin boleh dilakukan, namun berhati-hati dalam mengambil peluang ini takut terjerat.
Dataprep telah jatuh hampir 70% daripada harga puncaknya iaitu RM4.13 pada 16 Mac 2021. Kerugian bersih syariat Dataprep telah meningkat kepada RM9.78 juta untuk tahun kewangan 2020 berakhir 31 Disember, daripada kerugian RM5.87 juta pada tahun sebelumnya.
Macpie juga telah jatuh hampir 90% daripada harga puncak yang dicatatkannya iaituRM0.85. Kerugian bersih berkurang ke RM1.67 juta berbanding RM1.98 juta pada tahun sebelumnya. Walaupun baru-baru ini mereka ada menandatangani perjanjian berkenaan e-sukan, namun pelabur masih perlu membuat kajian untuk melihat sejauh mana syarikat ini akan mendapat manfaat daripada projek ini.
Aktiviti Pasaran Luar Biasa (Unusual Market Activity)
Unusual Market Activity (UMA) adalah daripada pihak regulator, yang biasanya merupakan amaran awal akan kemungkinan adanya aktiviti spekulasi. Kebiasaannya amaran ini dikeluarkan kerana kenaikan atau kejatuhan harga saham tidak seiring dengan sebarang pengumuman corporate exercise. Apabila UMA query telah dibuat, syarikat perlu memberi maklumbalas sekiranya mereka ada sebarang pengumuman yang boleh menjelaskan tentang kenaikan harga yang berlaku.
Pada suku pertama tahun 2021, ada sebanyak 17 buah syarikat yang telah mendapat UMA.
Ditulis oleh Mohd Ameruddin Ahmat, graduan perubatan dari University College Dublin, Ireland x RUMC dan seorang Marketing Representative.
Beliau juga ada membuat perkongsian mengenai pelaburan di laman-laman sosial ini: