KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Cabang hartanah Sunway Bhd iaitu Sunway Property, menerusi anak syarikat milik penuhnya Sunway Rawang City Sdn Bhd (SRCSB) telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih tanah seluas 99.15 hektar di Kuang, Rawang daripada Kauthar Equities Sdn Bhd dengan harga RM115 juta.
Pengambilalihan dan cadangan pembangunan tanah itu akan dilaksanakan melalui usaha sama antara Sunway City Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Sunway Bhd) dan Amal Resources Sdn Bhd, yang telah memeterai perjanjian usaha sama untuk melanggan SRCSB sebagai syarikat usaha sama.
“Terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Latar (atau Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor), tapak ini menawarkan sambungan yang sangat baik dan hanya 35 minit pemanduan dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, serta dalam jarak sejam dari kedua-dua Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Pelabuhan Klang.
“Lokasi itu menjadikannya tapak yang ideal bagi Taman Teknologi Industri yang dicadangkan untuk melengkapkan kawasan perindustrian yang sedang berkembang di wilayah Kuang dan Rawang seperti Kawasan Perindustrian Kuang dan Taman Perindustrian Rawang,” kata Sunway Property dalam satu kenyataan.
Taman Teknologi Perindustrian yang dicadangkan itu akan terdiri daripada kilang, gudang dan komponen komersil dengan nilai pembangunan kasar sekurang-kurangnya RM2 bilion.
Visi untuk Taman Teknologi Industri ini adalah untuk mewujudkan ekosistem bertenaga yang menggabungkan infrastruktur tercanggih, ketersambungan digital yang teguh dan ciri yang mampan.
Dengan jumlah simpanan tanah seluas 1,241.57 hektar dan potensi nilai pembangunan kasar RM49.7 bilion dalam tempoh lebih 15 tahun, Sunway Property bersedia untuk pertumbuhan yang mampan.
— BERNAMA