KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia terus mendapat momentum secara menyeluruh pada tengah hari ini, meningkat semula daripada penurunan sebelum ini, didorong oleh momentum positif global terhadap ekuiti dan niaga hadapan.
Pada rehat tengah hari, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 15.44 mata kepada 1,593.83 daripada 1,578.39 semasa ditutup semalam.
Pasaran dibuka tinggi 3.92 mata kepada 1,582.31.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 650 berbanding 378, manakala 717 kaunter tidak berubah, 431 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 5.24 bilion bernilai RM2.29 bilion.
Seorang penganalisis berkata momentum positif itu didorong oleh kenaikan saham Amerika Syarikat (AS), terutamanya S&P500 dan Dow Jones Industrial Average, mendorong kepada peningkatan saham Asia yang lain.
“Memandangkan kemelut politik AS telah selesai dan dan peralihan kepada Presiden Joe Biden telah bermula, pelabur mempunyai keyakinan yang tinggi mengenai masa depan perdagangan, terutamanya melibatkan hubungan yang lebih baik antara AS dan China,” katanya.
Di Bursa Malaysia, sektor kitaran di FBM KLCI mencatatkan kenaikan diterajui oleh Public Bank, yang menambah 46 sen kepada RM18.84, Telekom Malaysia meningkat 15 sen kepada RM4.75, Maybank naik lapan sen kepada RM8.21, dan Press Metal menokok 25 sen kepada RM6.35.
Dalam kalangan saham cergas, Sapura Energy menambah satu sen kepada 12.5 sen, AT Systematization dan KNM, masing-masing naik 1.5 sen kepada 17 sen dan 21 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 103.44 mata kepada 11,429.16, Indeks FBMT 100 menambah 101.36 mata kepada 11,217.05, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 63.53 mata kepada 13,076.79, dan FBM 70 naik 103.06 mata kepada 14,576.80.
FBM ACE meningkat 179.99 mata kepada 10,666.11, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.93 mata kepada 158.61, Indeks Perladangan naik 19.65 mata kepada 7,287.98, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 248.48 mata kepada 14,1218.90.
— BERNAMA