KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Kaunter-kaunter utama di Bursa Malaysia terus tertekan sehingga berakhirnya sesi awal dagangan dengan pelabur memberi tumpuan kepada perbelanjaan kerajaan dan kebimbangan mereka yang kian meningkat akan penularan COVID-19.
Pada rehat tengah hari, indeks petunjuk utama FBM KLCI susut 6.11 mata kepada 1,646.38 berbanding 1,652.49 ketika ditutup Jumaat lepas.
Pada paras pembukaan pagi ini, indeks utama merosot 3.64 mata kepada 1,648.85.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter untung mengatasi rugi 656 berbalas 456 sementara 439 kaunter tidak berubah, 589 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.44 bilion unit bernilai RM1.90 bilion.
Kebimbangan kian meningkat berikutan pertambahan berterusan kes COVID-19 seluruh dunia dan ia telah menjejaskan ekonomi sementara kerajaan pula berusaha untuk mengimbangkan antara keselamatan dan ekonomi.
“Pendapatan minyak dan cukai yang rendah serta penurunan penarafan negara akan menghentikan rancangan pemulihan kerana perbelanjaan akan terjejas. Sekiranya ekonomi tidak pulih seperti yang kerajaan harapkan, ia boleh menjurus kepada pengurangan pendapatan,” kata beliau.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Hartalega dan Top Glove masing-masing naik 16 sen dan empat sen kepada RM12.52 dan RM6.68, sementara Tenaga Nasional turun 14 sen kepada RM10.64 dan Petronas Dagangan menyusut 24 sen kepada RM21.00.
Bagi saham paling cergas pula, JAG menambah 2.5 sen kepada 27 sen, sementara Vsolar dan Nexgam, masing-masing tidak berubah pada 4.5 sen dan 5.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 31.90 mata kepada 11,858.58, Indeks FBMT 100 merosot 33.47 mata kepada 11,653,4, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 41.31 mata kepada 13,293.16, FBM 70 turun 20.75 mata kepada 15,197.85, sementara FBM ACE menambah 13.32 mata kepada 10,460.97.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.55 mata kepada 175.14, Indeks Perladangan turun 19.25 mata kepada 7,330.55, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih rendah 22.62 mata kepada 15,402.37.
– BERNAMA